KUALA LUMPUR: MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) menjangka inflasi Malaysia berada antara 2.3 peratus dan 2.5 peratus pada 2023 berikutan kerajaan perpaduan yang baru dibentuk dijangka mengekalkan status quo mekanisme subsidi bahan api semasa.

Dalam nota penyelidikan pada Jumaat, MIDF Research berkata berdasarkan pelan tindakan manifesto Pakatan Harapan (PH), kerajaan pimpinan PH mungkin mengkaji semula amalan monopoli terhadap beberapa perkara berkaitan pertanian dengan idea untuk meningkatkan bekalan pengeluaran dan menurunkan harga makanan.

"Susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), prospek inflasi Malaysia lebih jelas pada tahun depan. Jika status quo subsidi bahan api (dikekalkan), justeru inflasi keseluruhan diunjurkan berada antara 2.3 peratus dan 2.5 peratus pada 2023," katanya.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang pertama pada Januari tahun depan selepas Malaysia menyaksikan Indeks Harga Penggunanya (IHP) meningkat empat peratus tahun ke tahun pada Oktober 2022.

Katanya walaupun inflasi keseluruhan Malaysia terus berada pada aliran sederhana pada Oktober 2022 berbanding pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5 peratus pada September 2022, ia masih lebih tinggi daripada konsensus pasaran sebanyak 3.9 peratus.

MIDF Research turut menaikkan unjuran IHP keseluruhan sebanyak 0.2 peratus kepada tiga peratus pada 2022 dengan permintaan domestik yang kukuh dan jangkaan pertumbuhan harga makanan mencatatkan 5.5 peratus pada tahun ini, berikutan penyusutan dolar AS-ringgit.

Melangkah ke 2023, katanya faktor tolakan penawaran terhadap inflasi dijangka rendah, disokong oleh peningkatan dolar AS-ringgit, harga makanan yang sederhana, tekanan rantaian bekalan global yang berkurangan dan harga komoditi yang kembali normal.

-- BERNAMA