KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan 6.7 peratus pada Mac 2021 daripada 2.7 peratus bulan sebelumnya, kenaikan tertinggi sejak Ogos 2017.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan ini didorong oleh kenaikan indeks perlombongan yang melonjak 32.0 peratus berbanding negatif 11.0 peratus pada Februari 2021.

''Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan paras pertumbuhan baharu yang tinggi 41.1 peratus kerana komoditi mencatatkan harga lebih tinggi pada bulan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seterusnya, beliau menambah indeks pembuatan turut mencatatkan kenaikan 2.2 peratus disebabkan oleh peningkatan harga komoditi petroleum dan pertanian.

Bagaimanapun, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing mencatatkan penurunan 1.4 peratus dan 0.1 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, beliau berkata IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan 0.7 peratus pada Mac 2021, berkurangan daripada 1.5 peratus pada Februari 2021.

''Kesemua empat indeks meneruskan momentum pertumbuhannya; pertanian, perhutanan dan perikanan (2.3 peratus), perlombongan (1.0 peratus), bekalan elektrik dan gas (0.8 peratus) dan pembuatan (0.6 peratus) sementara indeks bekalan air turun 0.2 peratus," kata Mohd Uzir.



Beliau turut menyatakan IHPR pengeluaran tempatan bagi suku pertama 2021 naik 3.0 peratus kepada 108.5 berbanding 105.3 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

''Pertumbuhan ini disebabkan kenaikan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (32.6 peratus), pembuatan (1.6 peratus) dan bekalan air (0.4 peratus).

"Sementara itu, indeks perlombongan dan bekalan elektrik dan gas masing-masing mencatatkan penurunan 7.3 peratus dan 1.7 peratus," ujarnya

Bagi perbandingan suku tahunan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 5.1 peratus berbanding 2.0 peratus pada suku keempat 2020

Untuk IHPR pengeluaran tempatan tahun ke tahun mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya melonjak kepada 31.8 peratus daripada 10.0 peratus pada Februari 2021 sementara indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turut meningkat 2.8 peratus.

Namun begitu, indeks barang siap mencatatkan negatif 0.2 peratus.

-- BERNAMA