Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ekonomi berasaskan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) bakal mengukuhkan daya momentum ekonomi negara untuk tahun hadapan.

Malaysia perlu merebut peluang yang wujud dalam bidang ekonomi digital sekali gus memacu pertumbuhan sebagai persiapan apabila pemulihan ekonomi global sedang rancak berjalan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, suntikan semangat inovasi dan kreativiti dalam kalangan usahawan dan industri perlu dilakukan, bagi mengembangkan proses transformasi dalam bidang sains dan teknologi ini.

"Sudah ada cakap-cakap mengenai Revolusi Industri Keempat, yang menggambarkan revolusi digital dan ciri-ciri sistem fizikal siber.

"Revolusi ini dibolehkan hasil daripada popularisasi peranti mudah alih, kuasa pemprosesan luar biasa, kapasiti penyimpanan dan akses kepada pengetahuan.

"Oleh itu, kita perlu mengambil kesempatan dengan ekonomi perkongsian dan digital yang kini menjadi semakin penting," kata Najib dalam satu ucapan pada Majlis Konsultasi Bajet 2017 di Bangunan Kementerian Kewangan, di sini.

Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada platform untuk kerajaan mendapat input daripada pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penyediaan Bajet 2017, dengan lebih 90 institusi telah mengemukakan memorandum, yang meliputi isu-isu makro, sektoral dan sosial.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong dan Datuk Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa Serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Bertemakan 'Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat', majlis tersebut dihadiri lebih 200 wakil dari sektor swasta dan NGO.

Menurut Najib, kerajaan sentiasa komited memastikan kedudukan fiskal kekal terus kukuh sekali gus dapat mencapai sasaran merealisasikan 3.1 peratus defisit fiskal tahun ini, angka yang lebih rendah daripada 3.2 peratus tahun lepas.

Tambahnya, Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih pelaburan langsung yang kukuh sebanyak RM15 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding RM9.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jelasnya, ini adalah bukti keyakinan pelabur kepada Malaysia.