KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Bhd (HLB) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) semalam melancarkan kempen 'Visit Sekinchan 2023', kampung tanpa tunai pertama di Malaysia sebagai inisiatif pembayaran tanpa tunai (Kod QR) kepada pelancong bandar dan pelawat celik digital.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata pihaknya telah melihat bagaimana pembayaran tanpa tunai boleh membantu meningkatkan nilai jualan vendor memandangkan pelanggan mungkin berbelanja lebih sedikit tanpa perlu risau untuk mencari mesin ATM sekiranya mereka kehabisan wang tunai di tangan.

"Kini, kami berharap dengan kemudahan tambahan yang dikuasakan tanpa tunai, ia akan dapat membantu memulihkan pelancongan domestik, menarik pelancong luar negara untuk melawat serta membuka peluang pengembangan perniagaan melalui eDagang.

"Pihak bank telah bekerjasama dengan komuniti selama enam bulan untuk memastikan Sekinchan menerima perubahan dalam penggunaan pembayaran tanpa tunai ini," katanya semasa majlis pelancaran kempen 'Visit Sekinchan 2023'.

Sekinchan menjadi pilihan kerana ia merupakan lokasi tumpuan pelancong luar dan dalam, yang mana ia secara strategik terletak berdekatan dengan ibu negara.

Domenic berkata pembayaran tanpa tunai ini boleh digunakan di premis perniagaan seperti pasar awam, kedai makan, tempat penginapan termasuk di rumah-rumah ibadat.

Sebahagian daripada komitmen ESG HLB adalah dedikasi untuk menutup jurang digital antara kawasan bandar dan bukan bandar, selain memastikan semua komuniti mendapat manfaat daripada keterangkuman digital serta kewangan.

"Selain menyediakan alatan dan perkakasan digital, pasukan kami bersedia membantu komuniti Sekinchan memahami selok-belok teknologi serta membantu mereka merealisasikan potensi yang ada dengan pilihan pembayaran digital dan tanpa tunai dalam aplikasi HLB Connect kami.

"Kami percaya, apabila komuniti yakin dengan penggunaan dan nilai pendigitalan, mereka akan dapat menerima serta menyokong orang lain untuk melakukan perkara sama," katanya lagi.

HLB telah memberi sokongan ke atas 24,000 penduduk dan perniagaan di Sekinchan dengan membantu mereka membuka akaun bank, mengeluarkan kad debit dan berhubung dengan bank secara digital tanpa perlu mengunjungi cawangan perbankan berkenaan.

Bank juga secara berperingkat menyediakan 800 perniagaan dengan kit permulaan HLB DuitNow kepada komuniti perniagaan termasuk sekolah.

Kit tersebut merangkumi Kod QR DuitNow untuk membolehkan perniagaan menerima pembayaran QR tanpa sentuh menerusi aplikasi perbankan mudah alih dan e-Dompet, termasuk pembayaran dengan QR serta kad melalui Terminal Pembayaran Semua-dalam-Satu.

-- BERNAMA