Simposium Ekonomi Global (GES) 2014 buat pertama kalinya diadakan di rantau Asia iaitu Malaysia adalah pentas terbaik untuk membincangkan isu serta potensi yang ditawarkan produk kewangan islam di peringkat global.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, Malaysia yang menjadi tuan rumah bagi GES untuk kali ketujuh ini dijangka mengetengahkan topik seperti kewangan Islam serta pembangunan hab halal global.

Beliau berkata, Kuala Lumpur akan menjadi medan lebih daripada 600 peserta untuk membincangkan serta mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan ekonomi global.
Katanya lagi, GES bukan saja platform yang digunakan untuk mengetengahkan isu yang membabitkan aspek ekonomi, tetapi mencari penyelesaian bagi membantu serta mengubah kehidupan masyarakat dunia.

Video wawancara temumarah ekslusif bersama Astro Awani di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur

“Penyertaan speaker terkemuka dunia yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bukansahaja bakal menyaksikan penyelesaian baru bagi masalah ekonomi global, ia juga dapat memberi manfaat kepada Malaysia.

“Pada masa sama pembabitan UiTM selaku penganjur bersama GES 2014 bukan sahaja dapat menaikkan imej kami, ia juga akan meletakkan institusi ini di mata dunia,” katanya dalam satu temuramah ekslusif bersama Astro Awani di Hotel Shangri La di sini, baru-baru ini.

Simposium yang buat pertama kalinya diadakan di luar Jerman selain Turki pada 2010 dan Brazil (2012), akan berlangsung selama tiga hari bermula 6 September lalu.

UiTM yang memainkan peranan penting dalam membawa GES 2014 ke Kuala Lumpur berjaya menarik penyertaan peserta memberangsangkan termasuk penampilan speaker yang pernah memenangi anugerah Nobel Laurete, Profesor Joseph Stiglitz dari Columbia University, Amerika Syarikat.

Penyertaan tokoh perniagaan serta pemimpin pengurusan kewangan tempatan seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar menunjukkan sokongan penuh diberikan bagi menjayakan symposium ini.

UiTM turut menyuarakan usaha mereka untuk membukukan sertiap penyelesaian masalah ekonomi yang diketengahkan di mana ia bertujuan untuk menjadikannya rujukan pada masa depan.

GES 2014 adalah simposium anjuran bersama antara UiTM dan Persatuan Ekonomi Global (GEA).

Tema GES untuk tahun ini adalah Penstrukturan Ekonomi, Mentransformasikan Masyarakat iaitu boleh disifatkan bertepatan dengan dasar transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan Malaysia ketika ini.