GDA terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UEM Group Bhd yang disokong oleh Khazanah Nasional Bhd, Abu Dhabi Investment Authority, dan Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki oleh BlackRock.
Mereka tetap berpendirian bahawa harga tawaran RM11 sesaham adalah tawaran menarik kepada pemegang saham MAHB berikutan ia mewakili premium sebanyak 49.5 peratus setakat ini pada tahun ini daripada harga penutupan MAHB sebanyak RM7.36 pada 29 Dis 2023, kata konsortium itu dalam kenyataan pada Jumaat.
"Ini berbanding dengan prestasi indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI setakat ini pada tahun ini pada 10.0 peratus, dengan premium harga tawaran lima kali ganda daripada prestasi KLCI," katanya.
Semalam, lima pengarah bebas atau tidak berkepentingan MAHB dalam Pekeliling Nasihat Bebas (IAC) kepada Bursa Malaysia berkata, tawaran itu tidak adil dan tidak wajar, justeru mengesyorkan pemegang saham untuk menolak tawaran itu.
Mereka yakin bahawa harga tawaran pada RM11 itu lebih rendah dan mewakili diskaun material sebanyak RM1.61 dan RM2.71 atau sekitar 12.77 peratus hingga 19.77 peratus berbanding nilai setiap saham MAHB yang dianggarkan antara RM12.61 dan RM13.71 oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Mengulas mengenainya, GDA berkata, walaupun prestasi terkini MAHB menunjukkan momentum positif, konsortium itu berpandangan bahawa prospek yang dikemukakan pengarah-pengarah tidak berkepentingan adalah optimis dan tidak mungkin direalisasikan tanpa pelaburan modal tambahan besar dan suntikan kepakaran teknikal.
"Prestasi kurang memberangsangkan MAHB yang berlarutan sama dari segi operasi mahupun kewangan berbanding entiti yang setara, menunjukkan bahawa pelaksanaan rancangan mereka akan kekal mencabar dan MAHB tidak mempunyai rekod prestasi dipercayai dalam melaksanakan jaminan diberikan," katanya.
GDA memberikan contoh penggantungan perkhidmatan aerotrain, dan menurutnya MAHB telah berusaha mendapatkan penggantian sejak 2017 selepas perkhidmatan itu terjejas beberapa kali.
Bagaimanapun, kontrak bagi projek itu diberikan pada Disember 2021 dan perkhidmatan aerotrain digantung sepenuhnya sejak Mac 2023.
GDA berkata selain itu, pelaburan yang berkurangan dalam tempoh berlarutan telah mengakibatkan rangkaian lapangan terbang MAHB berdepan cabaran dalam mengekalkan aset dan sistem teras serta projek baharu untuk mengembangkan kapasiti.
"MAHB turut kehilangan bahagian pasaran yang ketara dalam pasaran penerbangan ASEAN dengan bahagian pasaran menyusut daripada 20 peratus kepada 16 peratus antara 2013 hingga 2023," katanya.
Menurutnya permodalan pasaran MAHB hanya meningkat 12.2 peratus manakala rakan sealirannya di Asia Pasifik menokok 216.8 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas serta hasil dividen yang lebih rendah sebanyak satu peratus (bagi setiap harga tawaran) berbanding Indeks Lapangan Terbang DJ pada tiga peratus.
"Kepentingan MAHB sebagai aset strategik Malaysia diperlihatkan menerusi peningkatan kombinasi pemilikan dalam syarikat ini oleh UEM Group dan KWSP daripada 41.1 peratus pada masa ini kepada sasaran 70 peratus manakala kerajaan terus mengekalkan saham yang dimiliki.
"Konsortium ini berharap dapat bekerjasama dengan bakat berpotensi di MAHB dan komited untuk memulihkan kelebihan daya saingnya dengan memastikan tenaga kerja diberikan ganjaran sewajarnya mengikut sumbangan dan pencapaian mereka," kata GDA.
Menerusi gabungan sumber, menguruskan lembaga pengarah, dan tanpa kekangan daripada penyenaraian pasaran awam, ia akan dapat mempercepatkan pelaburan modal dan menyediakan kepakaran teknikal yang diperlukan untuk merealisasikan potensi MAHB demi kebaikan seluruh pihak berkepentingan.
-- BERNAMA