KUALA LUMPUR: Forum Perniagaan Antarabangsa ‘Dunia Peluang: Rusia-ASEAN’ yang julung kali diadakan di sini berjaya mengukuhkan lagi kedudukan Rusia sebagai pemain utama dalam perdagangan Asia Tenggara.

Acara dua hari yang berlangsung pada 26 dan 27 November ini menghimpunkan lebih 350 peserta dari 24 negara, menjadikannya salah satu forum perniagaan terbesar di rantau ini.

Penasihat kepada Presiden Rusia, Anton Kobyakov dalam satu kenyataan berkata perdagangan Rusia-ASEAN mencatatkan peningkatan 14.6 peratus pada 2023 dan melonjak lagi 20.5 peratus pada separuh pertama 2024.

“Forum ini adalah respons kepada minat yang semakin meningkat dalam kalangan perniagaan Rusia terhadap ASEAN, terutamanya Malaysia,” ujarnya.

Topik seperti transformasi digital, tenaga, dan keselamatan maklumat menjadi fokus, selain strategi untuk meningkatkan aliran pelancongan dan kerjasama pendidikan.

Yayasan Roscongress merancang untuk menjadikan Forum Perniagaan Antarabangsa Rusia-ASEAN sebagai acara tahunan bagi meningkatkan dialog antara Rusia dan negara anggota ASEAN.

Sementara itu, Duta Rusia ke Malaysia, Nail Latypov menyifatkan forum ini sebagai peluang mengukuhkan dialog dan kerjasama strategik antara komuniti perniagaan dan kerajaan.

“Hubungan antara Rusia dan ASEAN kini memasuki fasa baharu yang lebih optimis, membuka pintu kepada pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan,” tambahnya.

Latypov turut menyatakan Kuala Lumpur sebagai pilihan ideal untuk acara itu, dengan mengambil kira peranan Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 sebagai hab serantau dan lokasinya yang strategik sebagai hab serantau.

Dianjurkan bersama MATRADE dan Yayasan Roscongress, forum ini menonjolkan peranan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN dan membuka jalan kepada projek ekonomi baharu yang mampan.

Ditubuhkan pada 2007, Yayasan Roscongress adalah institusi pembangunan bukan kewangan yang bertujuan untuk meningkatkan potensi ekonomi Rusia dan imej antarabangsa negara itu.