Agensi penarafan antarabangsa itu berkata penarafan Malaysia itu disokong oleh pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh serta berleluasa, dipacu oleh pelaburan domestik dan asing yang kukuh serta lebihan akaun semasa berterusan dengan asas eksport yang pelbagai.
Kekuatan itu, katanya, mengimbangi hutang awam yang tinggi, asas hasil yang rendah berbanding perbelanjaan semasa serta mudah tunai luaran yang lemah berbanding rakan negara setaranya.
“Kestabilan keadaan pasaran tenaga kerja dan rangsangan pendapatan susulan kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024 dan Januari 2026 akan menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan itu turut disokong oleh pelaburan syarikat berkaitan kerajaan serta pelaburan asing berkaitan kepelbagaian rantaian bekalan," katanya dalam kenyataan semalam.
Fitch Ratings berkata walaupun prestasi eksport Malaysia meraih manfaat daripada peningkatan kitaran teknologi global pada 2024, momentum itu dijangka perlahan pada 2025 berikutan permintaan luaran yang lebih lemah serta prospek pertumbuhan susulan risiko penurunan akibat peningkatan ketegangan geopolitik.
Selain itu, agensi penarafan itu mengunjurkan defisit Kerajaan Persekutuan akan berkurangan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026, didorong oleh rasionalisasi subsidi berterusan selain kenaikan cukai yang sederhana.
"Kami melihatnya sebagai laluan konsolidasi fiskal yang boleh dipercayai serta berperingkat," katanya.
Mengulas defisit fiskal, Fitch Ratings berkata Belanjawan 2025 mengunjurkan defisit Kerajaan Persekutuan berkurangan kepada 3.8 peratus daripada KDNK berbanding unjuran 4.3 peratus dalam 2024.
“Kami menjangkakan perolehan hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2025 kekal stabil berbanding unjuran kami bagi 2024 pada 16.5 peratus.
"Langkah baharu dalam belanjawan, termasuk cukai pendapatan ke atas dividen pemegang saham individu dan penambahbaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan membawa tambahan terhad dan sebahagiannya akan diimbangi oleh hasil berkaitan petroleum yang lebih rendah," katanya.
Di samping itu, Fitch Ratings turut mengunjurkan hutang Kerajaan Persekutuan susut kepada 75 peratus menjelang 2026 daripada 77 peratus pada 2023 namun masih kekal melebihi unjuran median 'BBB' kategori berdaulat pada 59 peratus.
Agensi penarafan itu menjangkakan akaun semasa kekal mencatat lebihan dalam jangka sederhana dan lebihan kecil sebanyak 1.4 peratus daripada KDNK pada 2024 berikutan bil import besar untuk barangan perantaraan serta pelaburan modal.
"Kepelbagaian eksport Malaysia dan kedudukannya yang kompetitif dalam sektor pembuatan akan membolehkannya meraih manfaat daripada peralihan dalam rantaian bekalan global.
"Pelaburan asing yang diluluskan meningkat sebanyak 18 peratus tahun ke tahun dalam tempoh separuh pertama 2024 yang menunjukkan peningkatan pelaburan asing untuk direalisasikan bagi 2025," katanya.
-- BERNAMA