Di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, banyak syarikat Taiwan memilih untuk keluar dari China dengan sama ada kembali semula ke negara mereka atau mencari lokasi sesuai di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Menurut Taiwan External Trade Development Council (TAITRA), agensi penggalakan perdagangan Taiwan, terdapat kira-kira 80,000 syarikat negara itu, kebanyakannya syarikat kecil yang beroperasi di tanah besar China.

Sebahagian besar daripadanya mengeluarkan produk mesin, elektronik dan automasi, membekalkan kepada industri seperti automotif dan aeroangkasa.

Secara kebetulannya, industri automotif dan aeroangkasa juga merupakan industri yang diberi keutamaan tinggi di Malaysia.

Justeru, eksekutif korporat Taiwan menyifatkan sebagai 'padanan yang baik' dengan syarikat Malaysia, yang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan global mereka dalam industri ini.

Dalam satu temu bual bersama Bernama di Taipei, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAITRA Walter Yeh berkata dua industri utama Taiwan adalah teknologi maklumat (IT) dan binaan mesin.

"Sebagai pengeksport peralatan dan komponen mesin keempat terbesar di dunia, secara puratanya Taiwan mengeksport US$4 bilion produk ini bagi setiap beberapa tahun lepas daripada rangkaian lebih daripada 1,000 pengeluar mesin kejituan dan 10,000 pembekal hiliran," katanya.

Oleh kerana perang perdagangan AS-China telah membimbangkan banyak pembeli dan penjual, memandangkan ciri rantaian bekalan yang globalisasi, syarikat Taiwan ini mencari lokasi alternatif untuk operasi pemula baharu mereka.

Ini sejajar dengan dasar New Southbound Policy kerajaan Taiwan yang pada dasarnya menumpukan kepada kerjasama dengan negara anggota ASEAN dan juga India. Dasar itu dibentuk bagi mengurangkan kebergantungan terhadap China dan memanfaatkan potensi ekonomi dan perdagangan yang amat besar di rantau ASEAN, terutamanya Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Yeh berkata dengan penyusunan semula pesat rantaian bekalan global, Asia Selatan dan ASEAN mencatatkan pertumbuhan yang amat luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Ekonomi Taiwan terikat dengan dua rantau itu. Komuniti ASEAN hari ini adalah eksport dan destinasi pelaburan kedua terbesar bagi Taiwan. Malaysia, sudah tentunya, merupakan pasaran yang menarik bagi kami dan syarikat Taiwan akan mencari peluang di negara itu," katanya.

Menurutnya, Taiwan menjalin hubungan erat dengan rantau ASEAN dalam bidang seperti teknologi, perdagangan dan perniagaan dan bidang-bidang lain.

Strategi yang diguna pakai oleh banyak syarikat Taiwan adalah untuk 'beroperasi dari dalam rantau ASEAN' yang mencadangkan gabungan pasaran lebih 500 juta pengguna boleh ditembusi dengan membuka operasi pembuatan di salah satu dari negara anggota ASEAN.

Yeh berkata dasar Southbound negara itu adalah bertujuan untuk meningkatkan perdagangan dan perniagaan dengan negara anggota ASEAN.

"Ekonomi Taiwan telahpun giat terlibat di rantau ASEAN. Hari ini ASEAN merupakan eksport dan destinasi kedua terbesar bagi Taiwan. Kita mempunyai hubungan erat, termasuk hubungan perniagaan-kepada-perniagaan, dengan rantau ASEAN dalam bidang teknologi, pelancongan, pendidikan, buruh dan budaya," katanya.

Mengulas mengenai perlindungan perdagangan yang semakin meningkat dan kesan daripada ketegangan perdagangan AS-China ke atas perniagaan Taiwan, beliau berkata dalam jangka masa pendek, syarikat Taiwan mungkin terpaksa memindahkan operasi pengeluaran mereka, "tetapi mereka juga boleh mendapat manfaat daripada tempahan baharu bagi elektronik dan mesin, sebagai contohnya, hasil daripada peralihan pasaran."

"Bagi tempoh sederhana hingga jangka panjang, masih perlu bagi mereka untuk berkembang ke pasaran berpotensi lain di luar AS dan China.

"Memandangkan fleksibiliti dan daya tahan mereka, syarikat Taiwan lebih bersedia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berminat, termasuk dari rantau ASEAN, untuk membangunkan pasaran di luar AS dan China," kata Yeh.

-- BERNAMA