KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd menjangkakan tahun 2021 akan menjadi tahun yang mencabar terutama dengan kekurangan tenaga kerja dan ketidaktentuan harga minyak sawit mentah (MSM) yang mempengaruhi perniagaan perladangan syarikat itu, ia menyumbang sebanyak 82 peratus kepada pendapatan kumpulan.

Datuk Haris Fadzilah Hassan yang akan melepaskan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif FGV tidak lama lagi berkata kumpulan itu bagaimanapun mengunjurkan perniagaan gula terus meningkatkan prestasi operasi dan kewangannya.

"Pada tahun 2021, fokus kami adalah kepada penciptaan nilai baharu untuk perniagaan hiliran kami. Ini penting bagi visi kami untuk meletakkan semula FGV sebagai pemain agri-perniagaan terkemuka.

"Setakat ini, kami berada di landasan yang tepat dengan pelaksanaan strategi dan pelan tindakan kami untuk merealisasikan aspirasi ini," katanya dalam laporan bersepadu tahunan FGV 2020 yang dikeluarkan pada Rabu.

Mengenai prospek, beliau berkata ada fakta yang menyokong pandangan optimis itu dengan jangkaan harga MSM akan melebihi RM3,000 satu tan metrik tahun depan.

Selain itu, keadaan cuaca juga telah menjadi faktor kepada penuaian yang lebih baik selepas pertumbuhan pengeluaran hasil buah tandan segar (FFB) mengalami kelembapan pada 2020.

"Bagaimanapun, keuntungan ini dapat dipengaruhi oleh penurunan permintaan daripada industri perhotelan, restoran dan katering (HoReCa) sekiranya pandemik COVID-19 berlanjutan," katanya.

Beliau berkata pelanggan HoReCa membentuk pasaran yang signifikan untuk produk pengguna dan minyak sawit FGV.

Haris Fadzilah meluahkan keyakinan bahawa pasca pandemik COVID-19, FGV akan berada dalam kedudukan yang baik untuk memperoleh manfaat dari pembangunan produk pengguna, pertanian bersepadu dan perniagaan tenaga boleh diperbaharui kerana segmen itu adalah perniagaan yang dipacu oleh pasaran dan tidak terjejas oleh ketidaktentuan harga komoditi.

Mengenai perladangan, beliau berkata FGV akan terus menangani perkara berkaitan kelestarian yang sangat penting untuk memenuhi sasaran pengeluaran Minyak Sawit Mampan Yang Diperakui.

"Berdasarkan momentum ketika ini, kami komited untuk mencapai 100 peratus kebolehkesanan ke ladang (TTP) oleh kilang kami pada tahun 2021.

"Kami juga menunggu pembaharuan Pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan penamatan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS)," katanya.

Untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember, 2020, FGV kembali pulih selepas mencatatkan keuntungan bersih RM146.16 juta berbanding kerugian bersih RM246.18 juta pada tahun sebelumnya.

Awal bulan ini, FGV mengumumkan bahawa Haris Fadzilah akan meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan berkuat kuasa 15 Mei depan dan Ahli Lembaga akan mencari calon yang sesuai untuk menggantikannya.

-- BERNAMA