KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka tinggi pagi ini sebelum bergerak rendah di tengah-tengah kekurangan sentimen positif untuk meningkatkan pasaran.

Pada 9.25 pagi, FBM KLCI susut 0.14 mata kepada 1,450.43 daripada 1,450.57 pada penutup Isnin.

Indeks utama memulakan dagangan pada paras 1,450.87, meningkat 0.3 mata.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 241 berbalas 204, manakala 328 kaunter tidak berubah, 1,580 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 576.49 juta unit bernilai RM167.51 juta.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), ketidaktentuan pasaran mungkin berlaku menjelang ucapan yang dinanti-nantikan oleh pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell di Simposium Jackson Hole, tekanan luar yang semakin meningkat di Amerika Syarikat dan China, serta musim pelaporan keputusan kewangan tempatan.

Sementara itu dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9, Petronas Chemicals meningkat enam sen menjadi RM6.96, IHH Healthcare dan CelcomDigi masing-masing peroleh empat sen untuk mencatatkan RM6 dan RM4.38 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.60 dan Public Bank susut tiga sen kepada RM4.11.

Bagi saham aktif, Talam meraih setengah sen kepada dua sen, CN Asia lebih tinggi 1.5 sen pada 20 sen, MY E.G. mengembang 2.5 sen kepada 81.5 sen, Ramssol peroleh tiga sen kepada 38.5 sen, Hong Seng kekal pada enam sen dan Tanco turun setengah sen kepada 54.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 6.10 mata kepada 10,689.91, Indeks FBMT 100 mengukuh 6.08 mata menjadi 10,375.40 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 21.0 mata kepada 10,921.95.

Indeks FBM 70 mengembang 38.14 mata kepada 14,124.07 manakala Indeks FBM ACE susut 22.02 mata kepada 5,268.88.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.16 mata kepada 169.23, Indeks Tenaga menokok 0.87 mata kepada 815.40, Indeks Perladangan susut 1.59 mata kepada 7,018.43 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 30.42 mata kepada 16,237.04.

-- BERNAMA