KUALA LUMPUR: Pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach perlu menjadi asas penting seiring usaha membawa kemajuan dalam pelbagai aspek  di negara ini.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pendekatan itu merupakan  sebahagian daripada strategi ‘Advancing Malaysia’ atau ‘Memajukan Malaysia’ yang diterapkan Khazanah ketika ini.

Katanya, Khazanah berperanan sebagai pemacu dan pemudah cara kepada syarikat-syarikat pelaburannya supaya mereka mampu mencipta nilai sekali gus meningkatkan daya saing terutama di peringkat serantau dan global.

“Bercakap soal transformasi syarikat,  Khazanah tidak boleh berfikir untuk melakukan segalanya secara sendiri atau semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) boleh buat sendiri.

“Sebaliknya, ini adalah whole-of-nation approach, semua orang kena terlibat dan melakukan transformasi secara bersama.

“Peranan kami adalah untuk memberi ‘tools’ supaya orang lain boleh maju,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, baru-baru ini.

BACA: Ekonomi Madani lonjak ekonomi Malaysia, tingkat kualiti hidup rakyat - PM Anwar

TRANSFORMASI SYARIKAT PELABURAN

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa komponen transformasi yang sedang dan akan dilaksana seperti pengambilalihan Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) dan Penjana Kapital  dalam usaha untuk mengukuhkan ekosistem modal teroka Malaysia.

Selain penambahan modal teroka, beliau menjelaskan, fokus Khazanah turut merangkumi pembangunan bakat, menerusi pelaburan kepada 42 Malaysia - sebuah pusat sains komputer berkonsepkan peer-to-peer yang inovatif bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan 10,000 bakat teknologi mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang.

BACA: Khazanah Nasional selesai pengambilalihan MAVCAP, Penjana Kapital

Malah, pihaknya turut memfokuskan kepada pembangunan syarikat peringkat sederhana (mid-tier) lantaran kumpulan perniagaan itu menyumbang sekitar 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, walaupun bilangannya hanya 2 peratus daripada keseluruhan syarikat di negara ini.

“Macam mana kami (Khazanah) sebagai pelabur boleh membantu mereka? Kita menyediakan modal, sama ada dalam bentuk kredit persendirian atau modal dalam usaha memajukan mereka,” ujarnya.

BACA: [KOLUMNIS] Belanjawan 2024: Memacu kemajuan sosioekonomi yang saksama dan inklusif

SEIRING EKONOMI MADANI

Menurut Amirul Feisal, strategi ‘Memajukan Malaysia’ juga seiring dengan kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Khazanah.

Katanya, usaha untuk menaikkan siling dan lantai ekonomi itu akan meningkatkan daya saing terutama di peringkat serantau dan global sekali gus menjamin kemakmuran jangka panjang negara.

BACA: Malaysia sasar berada di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033 - PM

BACA: 2024, tahun untuk laksana kerangka Ekonomi MADANI - Amir Hamzah

“Pada tahun 70-an, Malaysia jika dibandingkan dengan Taiwan, China dan Korea, kita adalah setanding. Namun, jika dilihat sekarang, syarikat apa yang terkenal di peringkat global, yang boleh sifatkan sebagai syarikat milik Malaysia?

“TSMC, Huawei dan Samsung - jika Malaysia? Jadi kita kena tengok semula apa kesilapan kita - yang mungkin menyebabkan kita tidak maju ke hadapan.

“Salah satu aspek penting yang ‘hilang’ ialah inovasi seperti meningkatkan produktiviti, penghasilan produk baharu yang inovatif serta mampu dipasarkan di peringkat global,” kata beliau.

Justeru, katanya, penting untuk bukan sahaja Khazanah tetapi semua pihak undur satu tapak ke belakang, melihat semula mengapa sukar untuk Malaysia menjadi sebuah negara berinovasi.