KUALA LUMPUR: Dana asing yang merekodkan aliran keluar sehingga kini bertukar kepada aliran masuk bersih sebanyak RM4.9 juta apabila melanjutkan pembelian ekuiti mereka di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, berjumlah RM873.9 juta minggu lepas, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu mengaitkan minat yang berterusan dalam pasaran domestik disebabkan keyakinan terhadap ekonomi negara berikutan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.2 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2024 (S1 2024).

"Ini melebihi unjuran pertumbuhan 3.9 peratus oleh kaji selidik Reuters dan anggaran awal yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya menerusi Laporan Aliran Dana mingguan terbaharunya.

Laporan itu menunjukkan bahawa dana asing adalah pembeli bersih di Malaysia sepanjang minggu, dengan aliran masuk bersih tertinggi sebanyak RM299.98 juta pada Rabu.

"Ini menandakan permulaan bagi pembelian bersih yang kukuh oleh dana asing, dengan hari-hari berikutnya menyaksikan aliran masuk bersih melebihi RM100 juta setiap hari. Hari Khamis mencatatkan RM269.2 juta, manakala Jumaat menyaksikan pembelian sebanyak RM184.3 juta," kata laporan itu.

Aliran masuk asing tertinggi bagi sektor ialah pengangkutan dan logistik pada RM223.6 juta, utiliti pada RM189.1 juta, dan penjagaan kesihatan pada RM183.3 juta.

Satu-satunya sektor dengan aliran keluar asing bersih ialah perladangan pada -RM64.7 juta dan pembinaan pada -RM6.7 juta.

Sementara itu, institusi tempatan meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, berjumlah -RM379.7 juta, manakala jualan bersih peruncit tempatan berlanjutan ke minggu kesepuluh yang berjumlah -RM494.1 juta.

Dari segi penyertaan dalam pasaran, purata jumlah dagangan harian meningkat untuk peruncit tempatan (+27.1 peratus), institusi tempatan (+18.0 peratus) dan pelabur asing (+8.5 peratus).

-- BERNAMA