Caj perkhidmatan penumpang, atau lebih dikenali sebagai cukai lapangan terbang, mungkin akan ditingkatkan.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, cukai lapangan terbang perlu dikaji semula setiap tiga tahun berdasarkan perjanjian dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"(Peningkatan harga) akan berkuat kuasa, kerana ia sudah dalam perjanjian.

Kita tidak perlu membuat pengumuman melainkan jika kerajaan mahu menghentikan atau mengkaji semula perjanjian itu, tetapi selagi ia ada dalam perjanjian itu, kita tidak boleh mengubah keputusan ini," kata beliau.

Pada 1 Disember lalu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata cukai lapangan terbang akan mencapai kitaran lima tahun bulan hadapan.

Beliau bagaimanapun berkata sebarang keputusan mengenai kajian semula cukai lapangan terbang bergantung kepada kerajaan.

Pada masa ini, cukai lapangan terbang untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah RM65 bagi penumpang antarabangsa dan RM9 bagi penumpang domestik, manakala bagi klia2 ianya ditetapkan pada RM32 bagi penumpang antarabangsa dan RM6 bagi penumpang domestik.

Sementara itu, menyentuh mengenai laporan audit mengenai keselamatan klia2, Liow berkata laporan itu sudah diterbitkan dan beliau akan membentangkannya kepada Kabinet.

"Saya akan mengemukakannya kepada kabinet, kemudian baru saya akan mengumumkannya kepada orang ramai inti pati laporan itu," katanya.

Liow sebelum ini memberitahu Parlimen bahawa laporan audit mengenai klia2 akan disiapkan menjelang akhir Oktober.