Caruman tahunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2017 meningkat 6.38 peratus kepada RM65.52 bilion berbanding jumlah pengeluaran RM49.40 bilion, menyebabkan aliran masuk bersih RM16.12 bilion untuk tahun berkenaan.
KWSP, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Laporan Tahunan 2017 yang dikeluarkan hari ini telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 April 2018.
Laporan itu menunjukkan peningkatan 8.26 peratus dalam jumlah aset pelaburan kepada RM791.48 bilion berbanding RM731.11 bilion pada 2016, katanya.
Menurutnya, ini adalah berdasarkan caruman ahli sebanyak RM768.51 bilion setakat 31 Dis 2017.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pada keseluruhannya 2017 adalah tahun yang baik buat KWSP kerana telah mencapai kemajuan yang besar dalam memenuhi keperluan ahli serta telah memperkenalkan lebih banyak penambahbaikan kepada saluran dalam talian.
"Buat pertama kalinya kami mengumumkan keputusan pelaburan dan kadar dividen bagi simpanan syariah.
"KWSP mengakhiri tahun kewangan dengan mencatat pendapatan pelaburan kasar tertinggi dengan pulangan atas pelaburan kasar sebanyak 7.30 peratus, peningkatan 18 mata asas berbanding 2016," katanya.
Menurut beliau, portal e-Caruman KWSP juga bakal mencapat kadar penggunaan 100 peratus dalam kalangan majikan, di mana saluran dalam talian tersebut terbukti berkesan dalam membantu majikan mengemaskini butiran caruman pekerja dan membayar caruman dalam masa yang telah ditetapkan.
Tahun lepas, katanya, KWSP membuat beberapa inisiatif untuk mempersiapkan diri untuk masa depan dalam memenuhi permintaan yang berubah dari ahli dan majikan serta mewujudkan infrastruktur digital yang sangat kukuh.
"Semua inisiatif ini akan membolehkan kami melaksanakan tugas dengan berkesan untuk menjaga dan memelihara nilai simpanan ahli kami dan tetap relevan dengan ahli dan majikan," katanya.
Shahril berkata, dana itu bangga dengan prestasi secara keseluruhan 2017 kerana bukan sahaja dapat mencatat dividen yang baik, ia juga dapat memenuhi permintaan ahli dan membantu majikan memenuhi kewajipan mereka.
Mengenai prospek kewangan, Shahril berkata, dana itu menjangka kemeruapan pasaran yang berterusan dan ketidaktentuan politik untuk tahun akan datang bagi kedua-dua bahagian domestik dan global.
"Bagaimanapun, kami melihat ini sebagai peluang untuk mengekalkan prestasi kewangan dan meningkatkan pulangan pelaburan dalam jangka panjang," katanya.
Sementara itu, KWSP berkata, daripada pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM53.14 bilion yang dijana untuk tahun tersebut, lebih 40 peratus daripadanya disumbangkan pelaburan luar negara KWSP yang merangkumi kurang daripada 28 peratus daripada portfolio pelaburannya.
KWSP mencatatkan prestasi keseluruhan yang kukuh di semua kelas aset dalam portfolionya, sebahagian besarnya didorong oleh pelaburan dalam ekuiti global yang mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang lebih baik, katanya.
Ia berkata, setakat 31 Dis 2017, jumlah aset pelaburan dana itu berjumlah RM791.48 bilion.
Portfolio ekuiti, yang membentuk 42 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana RM31.47 bilion untuk tahun itu, katanya.
KWSP sebelum ini mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus untuk simpanankonvensional melibatkan agihan dividen RM44.15 bilion dan 6.40 peratus untuk simpanansyariah dengan agihan dividen RM3.98 bilion.
"Secara keseluruhan, pembayaran dividen bagi 2017 berjumlah RM48.13 bilion, yang merupakan peningkatan sebanyak 29.80 peratus berbandijng 2016," katanya.
Ia berkata, jumlah permohonan pengeluaran meningkat sebanyak 3.84 peratus kepada 2.45 juta, di mana 2.32 juta permohonan diluluskan dengan pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion melalui pelbagai skim pengeluaran.
KWSP berkata, mulai suku ketiga 2017, ia menjalankan pengklasifikasian data ahli dan majikan untuk menyusun semula datanya mengikut peruntukan Akta KWSP 1991.
Objektif utama pengkelasifikasian semula itu adalah untuk membezakan antara akaun ahli yang mempunyai simpanan dan akaun ahli tiada simpanan (akaun dorman), katanya.
"Di samping itu, individu dan badan yang termasuk dalam takrif Akta KWSP 1991 akan diklasifikasikan sebagai 'majikan', manakala mereka yang bekerja dalam sektor tidak rasmi diklasifikasi sebagai 'bekerja sendiri'.
"Berikutan pengkelasifikasian semula itu, jumlah ahli KWSP pada 31 Disembr 2017 adalah 13.79 juta, di mana 7.11 juta ditakrifkan sebagai aktif (menyumbang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan yang lalu) manakala jumlah majikan mencarum adalah 494,945," katanya.
KWSP berkata, agenda digital dan tumpuan berterusan ke atas penambahbaikan proses telah membuahkan hasil cemerlang dalam pengurusan kos.
Pada 26 mata asas setiap aset di bawah pengurusan, KWSP kekal sebagai salah satu pengurus dana paling cekap di dunia, katanya.
Ia berkata, terdapat juga peningkatan kecekapan dalam perkhidmatan ahli dan majikan dengan 93 peratus (60.68 juta) transaksi telah dijalankan melalui pelbagai saluran elektronik dan khidmat sendiri, berbanding 91 peratus (55.41 juta) 2016.
"Aplikasi mudah alih i-Akaun ahli KWSP juga telah dipertingkatkan lagi untuk memasukkan antara muka pengguna yang memaparkan penyata KWSP baharu, push notifications, secured inbox dan soalan lazim simpanan syariah.
"Jelas sekali, i-Akaun menjadi pilihan dalam urus niaga dengan KWSP dengan kenaikan 40 peratus dalam pendaftaran kepada 4.70 juta berbandinng 3.36 juta pada tahun sebelumnya," katanya. -- Bernama
Bernama
Fri Apr 13 2018
KWSP berkata, mulai suku ketiga 2017, ia menjalankan pengklasifikasian data ahli dan majikan untuk menyusun semula datanya mengikut peruntukan Akta KWSP 1991. - Astro AWANI
Ops Tiris: KPDN Sarawak catat 119 kes, nilai rampasan lebih RM20 juta
KPDN Sarawak mencatatkan 119 kes yang melibatkan nilai rampasan sejumlah RM21.5 juta sejak pelaksanaan Ops Tiris 3.0 dari 1 Jan hingga 20 Nov lepas.
Bin Zayed International komited labur AS$2 bilion di Malaysia
BZI akan memanfaatkan hartanah, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan kewangan untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
Negeri Sembilan bentang belanjawan berimbang 2025 RM590 juta - Aminuddin
Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2025 yang berimbang berjumlah RM590 juta dengan anggaran hasil pada jumlah yang sama dan perbelanjaan pembangunan mencecah RM135 juta.
MTL: Kerajaan Kelantan minta orang ramai elak lakukan aktiviti luar
Kerajaan Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti-aktiviti luar susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Lelaki Orang Asli ditemukan lemas di Sungai Tumboh
Mayat mangsa ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan berpakaian lengkap dan dipercayai tersangkut pada pokok liar.
AWANI Ringkas: Salah laku | RUU Pekerja Gig
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
10 Berita Pilihan - (22 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
AWANI Ringkas: 1MDB | Mahkamah | Bahan api
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Pelajar ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air di Kota Bharu
Muhamad Faris Mohd Nor berusia 14 tahun ditemukan di dasar tali air berkenaan pada kedalaman kira-kira lapan meter.
Tumpuan Sabtu – 23 November 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Caruman tahunan KWSP 2017 naik 6.38 peratus kepada RM65.52 bilion
Caruman tahunan KWSP bagi tahun 2017 meningkat 6.38 peratus kepada RM65.52 bilion berbanding jumlah pengeluaran RM49.40 bilion.