Dikenali dengan nama ‘Malaysia e-Commerce Zone’, penubuhan gedung ini bermatlamat memudahkan pengurusan kastam membabitkan produk tempatan yang memasuki pasaran China.
Gedung itu turut menempatkan ruang khas bagi pasaran e-dagang dari Malaysia yang membolehkan produk tempatan keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) disemak mengikut piawaian yang ditetapkan.
Hadir merasmikan gedung ‘Malaysia e-Commerce Zone’ ialah Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming pada Selasa.

Selain penubuhan gedung tersebut, antara perancangan lain adalah membuka laluan penerbangan kargo Nanning-Kuala Lumpur yang berpotensi menjana nilai import/eksport mencecah RM500 juta setahun.
Menurut Pengurus Projek, China Post Group Guangxi, Pang Jia, kerjasama ini adalah bagi mempromosikan perdagangan stabil di antara kedua-dua negara melalui perkhidmatan penghantaran yang lebih efektif.

“Antara pelan bisnes yang akan terjalin melalui kerjasama ini adalah perkhidmatan penghantaran ekspres dalam dan luar negara,” katanya.
Kerjasama kedua-dua negara ini dilihat bakal meningkatkan kemampuan peniaga IKS tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.