KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd telah menegur secara terbuka, mendenda serta mengarahkan pemecatan dua wakil peniaga (DR) kerana melanggar peraturan selain penyalahgunaan maklumat urus niaga pelanggan yang tidak wajar untuk menjalankan aktiviti dan perdagangan yang menyalahi undang-undang melalui penggunaan akaun pelanggan.

Bursa itu dalam satu kenyataan berkata Abdul Karim Yasin dan Sobri Ahmad masing-masing ditegur secara terbuka, didenda RM230,200 dan RM72,800 selain dikeluarkan sebagai individu berdaftar di Bursa Malaysia Securities.

Abdul Karim adalah DR bergaji daripada CIMB Investment Bank Bhd (CIMB-IB) dan kemudian, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB) bagi mengendalikan transaksi untuk pelanggan institusi CIMB-IB/CGS-CIMB.

Sementara itu, Sobri pula merupakan DR bertauliah di Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIBB) yang bertindak berdasarkan arahan Abdul Karim.

Bursa Malaysia Securities berkata Abdul Karim telah menyalahgunakan atau menggunakan maklumat dagangan beberapa pelanggan institusi CIMBIB/CGS-CIMB termasuk mengarahkan Sobri untuk membeli/menjual di kaunter yang sama yang didagangkan olehnya bagi pelanggan institusi melalui penggunaan akaun pihak ketiga di HLIBB dan melaksanakan dagangan harian yang menguntungkan.

"Bursa Malaysia Securities memandang serius semua pelanggaran/salah laku yang menjejaskan integriti dan kelakuan profesional/etika DR serta orang berdaftar dan yang menjejaskan perlindungan pelanggan kerana salah laku itu boleh merosakkan integriti pasaran termasuk keyakinan pasaran.

"Bursa Malaysia Securities tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam salah laku sedemikian atau gagal menjalankan tugas mereka dengan jujur atau berintegriti serta bertindak demi kepentingan terbaik pelanggan dan menjejaskan kerahsiaan maklumat pelanggan termasuk mengeluarkan orang berdaftar daripada daftar dan mengenakan denda setimpal dengan keseriusan pelanggaran itu," katanya.

Ia menambah lagi, teguran awam itu dikenakan sebagai pertimbangan untuk mewujudkan kesedaran pasaran dan mengukuhkan pandangan serius yang diambil oleh Bursa Malaysia Securities mengenai kesalahan pasaran serta pecah amanah oleh orang berdaftar yang menerima kepercayaan pelanggan.

-- BERNAMA