KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan selepas peningkatan kukuh baru-baru ini, dengan indeks serantau utama turut mempunyai trend menurun, dipengaruhi oleh petunjuk negatif Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada penutupan dagangan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI) menyusut 7.45 mata atau 0.45 peratus kepada 1,635.32 daripada 1,642.77 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.05 mata lebih rendah kepada 1,641.72 dan bergerak antara 1,633.64 kepada 1,646.38 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 573 berbanding 508, dengan 502 kaunter tidak berubah, 897 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.27 bilion unit bernilai RM2.90 bilion daripada 4.19 bilion unit bernilai RM4.55 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata kemerosotan FBM KLCI dipacu oleh jangkaan kelemahan dolar AS yang berterusan dan potensi semakan menurun terhadap data pekerjaan Amerika Syarikat (AS), mendorong sebahagian pelabur untuk meraih keuntungan.

"Bagaimanapun, trend baru-baru ini menunjukkan perubahan keutamaan oleh pelabur asing kepada pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia. Peralihan ini boleh dikaitkan dengan perbezaan kadar faedah yang semakin meluas antara pasaran sedang pesat membangun dan Kadar Dana Rizab Persekutuan AS," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata kadar faedah yang stabil di pasaran sedang pesat membangun telah mengukuhkan mata wang tempatan, menjadikan pasaran ini lebih menarik kepada pelabur asing.

"Malah, mata wang yang lebih teguh telah menyebabkan sektor permodalan besar dengan pinjaman berdenominasi asing menjadi lebih menarik kerana kos perkhidmatan pinjaman ini telah berkurangan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group meningkat 4.0 sen kepada RM7.89, Maybank turun 8.0 sen kepada RM10.52, Public Bank susut 4.0 sen kepada RM4.63, dan Tenaga Nasional rendah 10.0 sen kepada RM13.90 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.32.

Bagi saham aktif, MY E.G. Services naik 1.5 sen kepada 92 sen, Cape EMS meningkat 2.5 sen kepada 42.5 sen, manakala Top Glove dan Wentel Engineering masing-masing turun setengah sen kepada 99.5 sen dan 33.0 sen, dan YTL Power susut 11.0 sen kepada RM3.75.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 menokok 83.59 mata kepada 17,996.23, Indeks FBM ACE meningkat 6.69 mata kepada 5,336.28, manakala Indeks FBM Emas rendah 20.98 mata kepada 12,408.79, Indeks FBMT 100 turun 23.06 mata kepada 12,065.55, dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 10.31 mata kepada 12,348.87.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.64 mata kepada 182.24 dan Indeks Tenaga menambah 1.17 mata kepada 935.72.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 19.19 mata kepada 19,177.96 dan Indeks Perladangan turun 36.44 mata kepada 7,109.71.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.72 bilion unit bernilai RM2.63 bilion daripada 2.38 bilion unit bernilai RM4.24 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.13 bilion unit bernilai RM133.44 juta daripada 1.37 bilion unit bernilai RM163.68 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 409.12 juta saham bernilai RM133.80 juta daripada 437.47 juta saham bernilai RM139.41 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 229.44 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (419.60 juta), pembinaan (139.15 juta), teknologi (230.90 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (129.58 juta), hartanah (216.93 juta), perladangan (27.15 juta), REIT (12.20 juta), dana tertutup (9500), tenaga (86.81 juta), penjagaan kesihatan (82.22 juta), telekomunikasi dan media (35.05 juta), pengangkutan dan logistik (50.43 juta), utiliti (66.36 juta), dan amanah perniagaan (165,000).

-- BERNAMA