KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah selepas mencatatkan kenaikan kecil pada dagangan awal hari ini apabila para pelabur mengambil keuntungan menjelang cuti hujung minggu yang panjang.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.58 mata atau 0.47 peratus kepada 1,596.68 daripada paras penutup 1,604.26 pada Khamis yang menyebabkan indeks itu ditutup di bawah paras psikologi 1,600.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 4.62 mata kepada 1,608.88, turun naik antara paras 1,595.36 dan 1,612.31 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 857 berbanding 365, dengan 425 kaunter tidak berubah, 753 tidak diniagakan dan 46 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.45 bilion unit bernilai RM6.84 bilion daripada paras 5.33 bilion unit bernilai RM3.99 bilion pada Khamis.

Penganalisis teknikal Maybank Investment Bank Bhd Nik Ihsan Raja Abdullah berkata FBM KLCI susut selepas mencatatkan kenaikan pada awal dagangan apabila penurunan beberapa kaunter utiliti dan pengguna telah menyeret turun indeks utama.

Beliau berkata sentimen pasaran masih kekal negatif dengan beberapa sektor seperti kewangan dan amanah pelaburan hartanah diniagakan tidak berubah.

"Dengan berakhirnya musim pelaporan pendapatan syarikat tempatan, tumpuan pelabur kini akan kembali semula kepada data makroekonomi, bermula dengan data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan lewat hari ini," katanya kepada Bernama

Selain itu, Nik Ihsan berkata penurunan ketara di Wall Street, terutamanya dalam sektor teknologi dan perkhidmatan pengguna dijangka mempengaruhi pasaran tempatan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.93, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.10, CIMB dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM6.84 dan RM6.19, manakala Tenaga Nasional turun 14 sen kepada RM13.04.

Dalam kalangan kaunter cergas, MYEG meningkat empat sen kepada RM1.10, Datasonic susut tiga sen kepada 48.5 sen, Mah Sing turun 21 sen kepada RM1.50, Eco World International jatuh 3.5 sen kepada 38 sen dan Velesto berkurangan satu sen kepada 26.5 sen.

Sementara itu, Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 3 Jun, 2024, sempena dengan cuti umum sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Bursa itu akan menyambung semula operasinya pada 4 Jun, 2024.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 75.19 mata kepada 12,161.52, Indeks FBMT 100 susut 65.86 mata kepada 11,769.66, Indeks FBM Emas Shariah berkuangan 88.25 mata kepada 12,392.36, Indeks FBM ACE jatuh 60.35 mata kepada 5,389.57 dan Indeks FBM 70 susut 138.35 mata kepada 17,481.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.01 mata kepada 17,526.22, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 052 mata kepada 194.86, Indeks Perladangan susut 78.23 mata kepada 7,071.40 dan Indeks Tenaga berkurangan 19.63 mata kepada 967.36.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.36 bilion unit bernilai RM6.40 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM3.46 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.29 bilion unit bernilai RM163.14 juta daripada 1.40 bilion unit bernilai RM188.18 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 744.46 juta saham bernilai RM278.92 juta daripada 927.45 juta saham bernilai RM341.05 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 516.99 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (423.17 juta), pembinaan (299.32 juta), teknologi (528.57 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (262.65 juta), hartanah (545.89 juta), perladangan (79.76 juta), REITs (27.27 juta), dana tertutup (219,800), tenaga (178.04 juta), penjagaan kesihatan (119.06 juta), telekomunikasi dan media (104.36 juta), pengangkutan dan logistik (127.74 juta), utiliti (146.97 juta), dan amanah perniagaan (574,900).

-- BERNAMA