KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini terutama berikutan aktiviti pengambilan untung, tetapi indeks utama kekal melebihi paras psikologi 1,600, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 6.87 mata atau 0.43 peratus, kepada 1,608.53 daripada 1,615.40 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 0.59 mata lebih rendah kepada 1,614.81, berubah-ubah antara 1,608.53 dan 1,622.65 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 599 berbanding 547, dengan 487 kaunter tidak berubah, 712 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan merosot kepada 4.28 bilion unit bernilai RM3.40 bilion daripada 4.46 bilion unit semalam bernilai RM3.94 bilion.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah berikutan lonjakan pasaran semalam.

"Penurunan ini terutama disebabkan aktiviti pengambilan untung berikutan kebimbangan pelabur mengenai potensi stagflasi di Amerika Syarikat (AS) bertambah selepas Tinjauan Pembukaan Pekerjaan dan Pusing Ganti Buruh (JOLTS) meraih keputusan yang lebih lemah berbanding jangkaan.

"Bagaimanapun, kami percaya kebimbangan mengenai stagflasi AS hanyalah cakap-cakap pasaran kerana ia tidak disokong oleh data ekonomi kukuh lain. Amaran berhubung kemungkinan stagflasi di AS telah wujud secara berkala pada 2021, 2022 dan 2023," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, di dalam negara, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang kukuh bagi Mei, menunjukkan pengembangan pertama sejak Ogos 2022, menunjukkan penghantaran keluar barangan perkilangan dijangka berkembang lebih pesat pada separuh kedua 2024.

"Sektor pembuatan bersedia dengan pertumbuhan positif pada 2024, disokong oleh unjuran pasaran semikonduktor global yang memberangsangkan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 8.0 sen kepada RM9.98, CIMB Group merosot 10.0 sen kepada RM6.89, Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.13 dan IHH Healthcare berkurangan 1.0 sen kepada RM6.18.

Tenaga Nasional melonjak 28.0 sen kepada RM13.26.

Antara saham aktif, MY E.G. Services turun 1.0 sen kepada RM1.09 dan SNS Network Technology berkurangan setengah sen kepada 65 sen manakala Dagang Nexchange meningkat 2.0 sen kepada 48 sen,Datasonic Group naik 1.5 sen kepada 52 sen, dan JCY International menokok 2.0 sen kepada 61.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 38.51 mata kepada 12,239.98,Indeks FBMT 100 turun 40.16 mata kepada 11,843.81,dan Indeks FBM Emas Syariah susut 16.23 mata kepada 12,487.42 manakala Indeks FBM 70 berkurangan 17.26 mata kepada 17,538.14. Bagaimanapun, Indeks FBM ACE meningkat 43.57 mata kepada 5,467.61.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 132.71 mata kepada 17,591.17,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.32 mata kepada 196.57 manakala Indeks Tenaga turun 14.53 mata kepada 952.32. Indeks Perladangan berkurangan 41.88 mata kepada 7,137.12 dan Indeks Telekomunikasi dan Media menambah 7.63 mata kepada 612.99.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mendatar pada 2.57 bilion unit bernilai RM2.98 bilion berbanding RM3.50 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 912.07 juta unit bernilai RM110.10 juta daripada 922.85 bilion unit bernilai RM105.78 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 802.28 juta saham bernilai RM311.10 juta daripada 955.62 juta saham bernilai RM332.94 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 394.85 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (464.91 juta), pembinaan (262.60 juta), teknologi (562.05 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (89.02 juta), hartanah (295.93 juta), perladangan (20.72 juta), REIT (17.69 juta), dana tertutup (22,900), tenaga (158.14 juta), penjagaan kesihatan (95.73 juta), telekomunikasi dan media (56.92 juta), pengangkutan dan logistik (80.33 juta), utiliti (65.89 juta) dan amanah perniagaan (1.11 juta).

-- BERNAMA