Ringkasan AI
- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.48 mata kepada 1,602.16 pada 9.10 pagi, mengatasi prestasi Wall Street yang lemah.
- Sebanyak 170 kaunter rugi berbanding 167 kaunter untung, dengan jumlah dagangan sebanyak 174.76 juta saham bernilai RM79.60 juta.
- Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, peniaga membeli dan menjual dalam tempoh singkat untuk meraih keuntungan segera, mencerminkan sikap berhati-hati dalam pasaran.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.48 mata kepada 1,602.16 daripada 1,600.68 semasa ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran itu memulakan dagangan hari ini dengan 0.75 mata lebih tinggi kepada 1,601.43.
Bagaimanapun, di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 170 berbanding 167, manakala 223 kaunter tidak berubah, 1,904 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 174.76 juta saham bernilai RM79.60 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peniaga membeli dan menjual dalam tempoh singkat untuk meraih keuntungan segera.
"Peniaga kembali berhati-hati dan tidak mahu memegang saham dalam tempoh yang panjang," katanya kepada Bernama.
Di peringkat global, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata, berikutan peningkatan yang diraih selepas pilihan raya mulai reda, saham global menyusut selepas data Amerika Syarikat (AS) dan kenyataan terkini daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS (Fed) Jerome Powell menunjukkan keadaan ekonomi yang kukuh membolehkan Fed untuk berhati-hati dengan penurunan kadar faedah pada masa akan datang.
Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang terbaru dilaporkan menepati jangkaan, dengan IHPR dan IHPR teras mencatat peningkatan bulanan, iaitu masing-masing 0.2 peratus dan 0.3 peratus.
"Sentimen turut terkesan oleh pemilihan Donald Trump bagi calon-calon jawatan utama dalam kerajaan yang dijangka melaksanakan polisi Make America Great Again (MAGA) Trump mengenai sempadan, perdagangan, keselamatan negara dan ekonomi," katanya dalam nota hari ini.
Hari ini, peniaga akan memantau dengan teliti data jualan runcit AS dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2024.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah enam sen kepada RM10.36, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.32 dan IHH Healthcare menokok lima sen kepada RM7.25.
CIMB Group dan Public Bank pula masing-masing rendah satu sen kepada RM8.19 dan RM4.46.
Bagi saham aktif, Metro Healthcare yang baru disenaraikan naik setengah sen kepada 25.5 sen, ATA IMS meningkat 1.5 sen kepada 30.5 sen, Bumi Armada menokok satu sen kepada 51 sen manakala PUC dan Cape EMS tidak berubah pada 3.5 sen dan 38 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah menokok 15.98 mata kepada 12,125.83, Indeks FBM Emas meningkat 12.64 mata kepada 12,158.09, Indeks FBMT 100 naik 13.07 mata kepada 11,858.95, Indeks FBM 70 menambah 27.31 mata kepada 17,827.59 manakala Indeks FBM ACE susut 2.67 mata kepada 5,126.92.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga menokok 4.15 mata kepada 831.44, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 16.67 mata kepada 19,110.90 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 0.59 mata kepada 168.44.
Indeks Perladangan pula rendah 4.86 mata kepada 7,7679.33.
-- BERNAMA