KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung susulan prestasi positifnya semalam serta pada masa sama menjejaki prestasi semalaman Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.43 mata kepada 1,626.07 daripada 1,627.50 pada penutupan semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.88 mata kepada 1.628.38.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 219 berbanding 189 dengan 349 kaunter tidak berubah, 1,632 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 293.83 juta unit bernilai RM158.41 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata ia prestasi di Wall Street bercampur-campur apabila Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) merosot berikutan ia melepasi paras rekod baru-baru ini.

Bagaimanapun, sentimen kekal optimis berikutan pertumbuhan ekonomi yang baik dalam persekitaran prospek kadar faedah yang lebih rendah," katanya kepada Bernama.

DJI susut 197 mata manakala Nasdaq melonjak 109 mata ke paras rekod tertinggi, didorong kebanyakannya oleh lonjakan saham Nvidia.

Di peringkat tempatan, beliau percaya momentum belian mungkin berterusan hari ini kerana kebanyakan saham mewah masih dinilai sebagai berpatutan.

"Namun, kami menjangkakan indeks berehat seketika menjelang cuti Hari Wesak esok. Justeru, kami menjangkakan ia akan berada dalam julat antara 1,620-1,635 hari ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank and CIMB merosot tiga sen masing-masing kepada RM9.96 dan RM6.8, Public Bank turun satu sen kepada RM4.18, manakala Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM12.80 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.09.

Bagi Saham aktif, Feytech naik 34 sen kepada RM1.14, Orgabio meningkat sembilan sen kepada 41.5 sen, manakala Ingenieur Gudang dan Sapura Energy tidak berubah masing-masing pada lapan sen dan 4.5 sen, Panda Eco susut dua sen kepada 35.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 7.92 mata kepada 12,390.62, Indeks FBMT 100 merosot 8.37 mata kepada 11,981.72 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 1.13 mata kepada 12,643.53.

Indeks FBM 70 berkurangan 3.54 mata kepada 17,777.98 dan Indeks FBM ACE jatuh 5.16 mata kepada 5,414.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 48.17 mata kepada 17,678.94, Indeks Perladangan susut 7.55 mata kepada 7,393.15 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.02 mata kepada 197.81 manakala Indeks Tenaga merosot 2.36 mata kepada 995.82.

-- BERNAMA