KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia mengalami penurunan sederhana untuk ditutup rendah pada Khamis, berikutan prestasi suram di Wall Street dalam tempoh semalaman yang turut mempengaruhi pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.96 mata atau 0.37 peratus kepada 1,615.18 daripada 1,621.14 ketika ditutup pada Rabu.

FBM KLCI dibuka 4.06 mata lebih rendah kepada 1,617.08 dan bergerak dalam julat kecil di antara 1,610.58 dengan 1,618.00 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 954 berbanding 255, mankala 465 kaunter tidak berubah, 814 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.55 bilion unit bernilai RM3.11 bilion daripada 4.39 bilion unit bernilai RM2.80 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI mencatatkan penurunan, 'diganggu' oleh turun naik ketara baharu di Wall Street dalam tempoh semalaman.

"Separuh daripada komponen indeks utama ditutup dalam keadaan negatif, dengan saham utiliti dan telekomunikasi utama mengalami prestasi rendah. Sebahagian besar penurunan itu juga seiring dengan prestasi lemah di pasaran serantau," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata fasa tidak banyak berubah mungkin berlaku selepas ini susulan pendekatan berhati-hati yang berterusan diambil pelabur menjelang pengumuman unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, selain Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS dan laporan data sentimen pengguna pada Jumaat.

"Data ini mungkin memberikan panduan mengenai jangkaan masa untuk penurunan kadar faedah. Buat masa ini, sebarang kenaikan di bursa tempatan dijangka dikekang ekoran ketiadaan pemangkin baharu.

"Secara teknikalnya, FBM KLCI telah membentuk satu lagi corak lilin yang menunjukkan harga dibuka lebih tinggi daripada harga penutupan apabila indeks utama turun lagi ke arah paras 1,600 hari ini," katanya.

Beliau mengekalkan unjuran dengan kecenderungan rendah bagi FBM KLCI kerana indeks utama dilihat bergerak dalam aliran ke arah paras sokongan jangka masa pendek 1,600 manakala rintangan pada 1,640.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 2.0 sen kepada RM10.14, Public Bank meningkat 3.0 sen kepada RM4.21 dan IHH Healthcare menokok 1.0 sen kepada RM6.26.

Sementara itu, CIMB Group turun 1.0 sen kepada RM7.19, dan Tenaga Nasional merosot 40.0 sen kepada RM14.00.

Antara saham aktif, Zentech International menambah setengah sen kepada 1.5 sen, Ahmad Zaki Resources naik 2.0 sen kepada 33 sen, manakala OCR Group menguncup setengah sen kepada 10 sen, Ekovest turun 2.5 sen kepada 46.5 sen dan Hubline tidak berubah pada 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 82.04 mata kepada 12,465.78, Indeks FBMT 100 kurang 73.02 mata kepada 12,052.64, Indeks FBM Emas Syariah susut 137.18 mata kepada 12,739.70, Indeks FBM 70 merosot 216.04 mata kepada 18,478.35 dan Indeks FBM ACE turun 46.00 mata kepada 5,810.86.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan kurang 21.68 mata kepada 7,150.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.52 mata kepada 191.79, Indeks Tenaga susut 7.74 mata kepada 958.13, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.96 mata kepada 17,983.26.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurang kepada 2.27 bilion unit bernilai RM2.70 bilion daripada 2.28 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.35 bilion unit bernilai RM151.63 juta daripada 1.27 bilion unit bernilai RM161.45 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 914.78 juta saham bernilai RM259.84 juta daripada 840.80 juta saham bernilai RM221.89 juta sebelumnya.

Pada akhir dagangan, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 363.81 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (450.25 juta), pembinaan (381.78 juta), teknologi (271.30 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.77 juta), hartanah (279.66 juta), perladangan (37.60 juta), REIT (21.85 juta), dana tertutup (6,000), tenaga (143.16 juta), penjagaan kesihatan (61.60 juta), telekomunikasi dan media (34.27 juta), pengangkutan dan logistik (113.87 juta), utiliti (65.29 juta), dan amanah perniagaan (562,500).

-- BERNAMA