Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berkembang berikutan prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri.
Pada satu sidang media hari ini, beliau berkata, prestasi pertumbuhan itu bersama-sama dengan perkembangan ekonomi menggalakkan yang lain, akan memberikan sokongan kepada nilai ringgit.
Menyentuh mengenai prestasi inflasi, BNM melihat ia menepati jangkaan bahawa inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun sepanjang 2023, disebabkan terutamanya oleh keadaan kos yang lebih rendah.
“Keadaan ini dijangka berterusan untuk tempoh seterusnya pada tahun 2023. Secara menyeluruh, inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2.5 peratus dan 3 peratus pada tahun 2023.
“Pada masa hadapan, risiko terhadap prospek inflasi kekal sangat bergantung pada perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan,” menurut BNM dalam satu kenyataan.
Terdahulu pada sidang media sama, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku ketiga tahun 2023, berbanding 2.9 peratus pada suku kedua tahun yang sama.
Dalam pada itu, BNM berkata, ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik, dengan pelaburan akan disokong oleh kemajuan selanjutnya dalam projek infrastruktur berbilang tahun dan pelaksanaan inisiatif pemangkin.
“Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi. Prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada permintaan luar yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.
“Walau bagaimanapun, wujud faktor yang mungkin menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih tinggi iaitu aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan, permintaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang pulih dengan lebih kukuh serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih pantas,” menurut kenyataan itu lagi.
Ia disokong oleh peningkatan permintaan dalam negeri, pasaran buruh yang terus bertambah baik, serta aktiviti pelancongan dan pembinaan yang semakin rancak.
Sementara itu, BNM berkata, inflasi keseluruhan terus menurun kepada 2 peratus (S2 2023: 2.8%) pada suku ketiga, dicatat oleh inflasi bukan teras dan inflasi teras.
“Bagi inflasi bukan teras, makanan segar dan bahan api menyumbang kepada penurunan berkenaan. Inflasi teras terus menurun kepada 2.5 peratus (S2 2023: 3.4%) tetapi kekal melebihi purata jangka panjang (purata 2011- 2019: 2%).
“Inflasi teras yang menurun sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih termasuk makanan di luar rumah, perbelanjaan di restoran dan kafe serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian,” menurut kenyataan itu lagi.
Menyentuh mengenai perkembangan kadar pertukaran, BNM berkata, keadaan kewangan domestik didorong terutamanya oleh jangkaan yang berubah-ubah terhadap landasan dasar monetari global.
“Khususnya, kekukuhan pasaran pekerja Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan jangkaan berhubung dengan pendirian dasar yang lebih ketat untuk jangka masa yang lebih lama oleh Federal Reserve AS dan seterusnya kadar faedah AS dan global yang lebih tinggi.
“Sebaliknya, People’s Bank of China melaksanakan pelonggaran dasar monetari selanjutnya untuk menangani pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan di China yang telah melemahkan sentimen pelabur terhadap rantau itu,” katanya lagi.
Berlatarkan persekitaran tersebut, BNM berkata, penambahan nilai dolar AS berlanjutan ke suku ketiga dan menyebabkan nilai ringgit Malaysia menurun sebanyak 0.2 peratus seiring dengan penurunan nilai mata wang serantau yang lain.
“Namun, nilai ringgit meningkat sebanyak 1.4% berbanding dengan sekumpulan mata wang rakan perdagangan utama, seperti yang ditunjukkan oleh kadar pertukaran efektif nominal ringgit (nominal effective exchange rate atau NEER),” menurut BNM lagi.