Kenyataan tersebut dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika membentangkan usul TPPA pada mesyuarat khas Dewan Rakyat.
Tambahnya seperti yang dilaporkan agensi berita Bernama, TPPA bukan hanya membenarkan syarikat asing masuk ke Malaysia, tetapi syarikat di Malaysia juga boleh masuk ke negara asing.
Pembentangan usul penyertaan Malaysia dalam TPPA di Dewan Rakyat turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara intipati yang disentuh dalam pembentangan tersebut termasuk;
- Perlindungan paten di Malaysia kekal 20 tahun di bawah TPPA.
- Malaysia tidak ubah dasar kemasukan pekerja asing.
- Kuasa negeri dalam urus tadbir hal tanah tidak terjejas.
- Malaysia masih boleh tapis kandungan asing termasuk bahan lucah.
- Malaysia dibenar terus pakai sijil halal yang dikeluarkan Jakim selepas tandatangani TPPA.
- Malaysia akan dapat akses pasaran lebih luas, akan berkembang di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru
- Kelonggaran kepada penubuhan kesatuan sekerja.
- Negara-negara terlibat akan bekerjasama membina perusahaan kecil dan sederhana.
- Malaysia yakin Organisasi Perdagangan Sedunia, WTO, berperanan sebagai platform terpenting untuk meningkatkan hubungan perdagangan dunia mahupun dalam TPPA
- Cukai import ke atas 99.8 peratus produk elektrik & elektronik Malaysia ke pasaran Amerika Syarikat akan dimansuhkan serta-merta melalui TPPA
Tegasnya, penglibatan Malaysia dalam TPPA bukan bermakna negara meminggirkan rakan dagang China, ASEAN ataupun negara-negara Islam.
Malaysia, menurut Mustapa, bergantung kepada pelaburan dan perdagangan luar kerana ia pemangkin kemajuan setempat.
Malaysia adalah negara pertama yang membawa TPPA ke Parlimen untuk ditandatangani.
Beliau menambah, tempoh dua tahun diperlukan sebelum boleh laksana TPPA, dan negara perlu 26 pindaan ke atas 17 undang-undang.
Selain Malaysia, 11 negara lain yang terlibat dalam TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam.