SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Jumaat lepas adalah menyeluruh dan memperkasakan rakyat.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata belanjawan itu juga dilakukan melalui perancangan teliti terhadap sektor-sektor yang dapat dibuat jump start dengan dasar yang mampu menyegerakan pertumbuhan ekonomi negeri.

Bagaimanapun katanya belanjawan defisit bagi tahun kedua dengan nilai yang agak besar sebanyak RM88 juta menyebabkan kerajaan negeri perlu berbelanja besar bagi memperkukuh ekonomi kesejahteraan rakyat.

"Ia sesuatu yang kita perlu buat untuk melonjakkan semula ekonomi rakyat di negeri ini cuma saya risau sedikit seperti saya sebutkan tahun sebelumnya iaitu kebergantungan kepada hasil bukan cukai memandangkan ia hanya merekodkan kurang 50 peratus daripada anggaran hasil diunjurkan menerusi belanjawan itu.

"Kita juga bentangkan belanjawan defisit RM112 juta pada 2021, ia sebenarnya akan mendatangkan keadaan kurang sihat kepada ekonomi Negeri Sembilan dalam jangka masa panjang kerana defisit akaun pembangunan akan besar," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021 pada persidangan DUN Negeri Sembilan ke-14, di sini hari ini.

Kerajaan Negeri Sembilan Jumaat lepas membentangkan belanjawan defisit bertemakan 'Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat' berjumlah RM88 juta dengan perbelanjaan berjumlah RM520 juta dan unjuran hasil dianggarkan sebanyak RM432 juta.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata kerajaan negeri juga perlu mempunyai suatu dasar intervensi segera bagi mengawal kenaikan harga dan pengambilan untung yang melampau daripada 'orang tengah' terutama bagi barangan mentah hingga menyebabkan rakyat terbeban.

Jelasnya, kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri serta jabatan pertanian boleh dilakukan supaya proses pengambilan keuntungan yang sangat tinggi dihentikan segera sekali gus mengelakkan jurang pendapatan besar antara rakyat.

"Orang boleh tangguh untuk buat rumah, tetapi hendak makan hari-hari, ada orang yang hilang kerja, sudahlah terpaksa minta bantuan bakul makanan, hendak beli barang, barang mahal, jadi kita perlu satukan usaha tanpa mengira fahaman politik supaya rakyat menjadi keutamaan," katanya.

Mohamad turut mencadangkan supaya kerajaan negeri memperkasa sektor pertanian selain memulihkan tanah untuk jabatan veterinar dengan segera bagi memastikan sumber makanan di Negeri Sembilan mencukupi sebelum melakukan pengeksportan bahan makanan ke luar negara .

Senada dengannya, ADUN Chennah Anthony Loke Siew Fook turut menekankan supaya kerajaan negeri menambah baik keselamatan makanan dengan lebih menyeluruh terutamanya dalam menggalakkan usahawan tani dalam kalangan golongan muda di negeri ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata Negeri Sembilan memiliki banyak tanah terbiar dan perlu dibangunkan secara mapan sekali gus memberi manfaat kepada siswazah tempatan serta petani muda.

"Apabila para siswazah kembali ke negeri ini dan mengusahakan tanaman, ia dapat memberikan pendapatan tinggi kepada mereka. Justeru, insentif yang dinyatakan dalam Belanjawan 2022 dalam menggalakkan sektor pertanian baru-baru ini sangat baik dan perlu diteruskan," katanya.

Beliau berkata sesi dialog bersama golongan usahawan petani muda juga perlu diadakan bagi berkongsi maklumat dalam memastikan sektor tersebut berkembang lebih kompetitif pada masa akan datang.

Aminuddin ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 memaklumkan menerusi insiatif keempat, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi pemberian bantuan Siswazah Tani (INSIST9) selain INSIST9 dalam bentuk geran kepada mereka berjumlah maksimum RM10,000 turut diteruskan.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA