KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah rasuah ke muka pengadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memerangi rasuah penting memandangkan masa depan negara bergantung kepada kejayaan membanteras rasuah.

Malah, tegasnya, angka menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 berbanding sebelumnya.

"Sehubungan itu, bagi tahun hadapan (2025), peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta ketimbang RM338 juta," katanya pada Pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen pada Jumaat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal bagi menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci.

Kata beliau antara ikhtiar lain yang menyusul termasuklah RUU Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan bertujuan memperkasa tatakelola dan kecekapan perkhidmatan awam.

"Sejak mengemudi negara, semua tahu ketegasan saya dalam soal memerangi rasuah kerana rasuah ialah barah senyap yang menjatuhkan moral rakyat dan keyakinan pelabur," katanya.