SUBANG: BeCalm, snek fungsional inovatif yang dirumus khas dengan bahan semula jadi utama seperti Ashwagandha KSM-66, kini menjadi pilihan bagi mereka yang ingin mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental dalam menghadapi cabaran gaya hidup moden.

Snek ini hadir dalam bentuk brownies dan biskut yang bukan sahaja lazat, malah diformulasikan untuk menenangkan minda dan badan.

Dengan keberkesanan yang dapat dirasai dalam tempoh hanya 15 minit, BeCalm menawarkan solusi praktikal untuk menangani stres secara sihat.

Pengasas BeCalm, Maisarah Sani, berkongsi bahawa inspirasi mencipta produk ini datang daripada pengalaman peribadinya yang berjuang melawan tekanan dan insomnia.

Pada tahun 2007, beliau didiagnosis dengan klinikal depresi dan tumor otak, yang akhirnya membawa beliau menemui manfaat Ashwagandha dalam kehidupannya.

“Saya mula mengambil Ashwagandha sebagai suplemen untuk membantu tidur dan mengawal tekanan. Ketika itu, saya sedar betapa pentingnya bahan ini untuk keseimbangan emosi saya. Saya mahu menjadikannya lebih mudah diakses sebagai makanan harian yang lazat dan menyeluruh,” katanya.

xxx

Menurut Maisarah, terhasilnya idea snek baharu itu apabila seorang saintis, Dr. Reza Rahman yang mencadangkan supaya bahan seperti Ashwagandha digunakan dalam produk makanan.

Selepas tiga tahun kajian dan pembangunan, BeCalm berjaya dihasilkan sebagai snek berfungsi yang memberikan manfaat lebih baik daripada suplemen tradisional.

“Kami sedar bahawa memasukkan Ashwagandha ke dalam makanan memberikan kesan yang lebih pantas dan efektif kerana ia dilengkapi nutrisi lengkap. Dengan BeCalm, anda tidak hanya makan snek biasa, tetapi sesuatu yang membantu menjalani hari dengan lebih tenang,” tambahnya.

Produk ini juga telah memenuhi piawaian antarabangsa dengan pensijilan Halal Malaysia, USFD, dan GACC dari China.

Jelasnya, BeCalm kini telah bersedia untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan pelbagai versi pembungkusan termasuk untuk Malaysia, Amerika Syarikat, dan Eropah.

“Kami mahu produk ini menjadi penyelesaian kepada lima penyakit gaya hidup moden iaitu tekanan, kegelisahan, insomnia, depresi, dan obesiti. Snek ini dihasilkan bukan sekadar untuk makan, tetapi untuk membantu setiap individu, tidak kira usia, menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bahagia,” jelas Maisarah.

Dalam pada itu, penyertaan BeCalm dalam program Jiwa SME oleh Astro AWANI turut membuka peluang besar buat Maisarah dan pasukannya.

“Kami tidak pernah mendapat pendedahan di peringkat nasional sebelum ini, dan Jiwa SME telah memberi kami platform untuk berkongsi kisah serta produk kami kepada khalayak yang lebih luas.

“Bahkan, melalui program ini, kami dapat menjalin kerjasama dengan pakar industri yang membantu memperkukuhkan strategi pemasaran kami,” katanya penuh syukur.

BeCalm kini boleh didapati di platform atas talian seperti Shopee, Lazada, dan TikTok, serta di pasar raya premium seperti Village Grocer dan Bangsar Shopping Centre.

xxx

“Saya percaya kita semua boleh menikmati kehidupan yang lebih baik dengan pilihan makanan yang betul. BeCalm adalah langkah kecil ke arah kesejahteraan jangka panjang,” ujarnya.