TATKALA kebanyakan negara ketika ini sedang beralih daripada bahan api fosil kepada tenaga yang lebih bersih, Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) dan Toyo Ink Group, yang dimiliki sepenuhnya oleh Toyo Ventures Holdings Bhd dikritik ekoran menaja dan membiayai loji jana kuasa arang batu di Vietnam.


Ringkasan AI
  • Pendanaan Loji Janakuasa Arang Batu di Vietnam:
  • Export-Import Bank of Malaysia dan Toyo Ink Group menaja dan membiayai loji janakuasa arang batu di Vietnam.
  • Loji ini menggunakan teknologi ultra-supercritical (USC) dan akan menyokong peralihan tenaga di Vietnam.
  • Projek ini merupakan usaha serantau dan melibatkan bank negara terbesar di Vietnam.
  • Kritikan Terhadap Keputusan Pendanaan:
  • Christina Ng dari Energy Shift Institute mengkritik keputusan Malaysia dan Vietnam dalam perjanjian ini.
  • EXIM Bank dikritik kerana bertentangan dengan komitmen global untuk tidak membiayai loji janakuasa arang batu.
  • Sasaran Peralihan Tenaga di Vietnam:
  • Vietnam perlu mencapai sasaran mengurangkan kapasiti puncak penjanaan arang batu kepada 30.2GW menjelang 2030.
  • Penggunaan tenaga boleh diperbaharui harus menyumbang sekurang-kurangnya 47% daripada penjanaan elektrik.


Memetik laporan The Edge, EXIM Bank dalam maklum balas menerusi email berkata pendanaan tersebut adalah untuk loji jana kuasa arang batu 'ultra-supercritical' (USC) di Vietnam.

Loji tersebut bakal menjana pelepasan yang lebih rendah, menyokong peralihan tenaga Vietnam dan ia sejajar dengan 'mandat bank untuk menyokong syarikat Malaysia yang menerokai luar negara yang terlibat dalam pembangunan loji arang batu teknologi USC yang pertama di Vietnam'.

Bank tersebut yang merupakan pengatur utama mandat eksklusif untuk loji jana kuasa 2.12GW Song Hau 2 di wilayah Hau Giang berkata projek itu diletakkan sebagai usaha serantau selain pengumpulan dana itu diketuai bersama oleh salah satu bank negara terbesar di Vietnam, dengan lebih daripada 60 peratus dana yang akan dikumpul datang daripada 10 bank Vietnam.

Katanya, proses pengumpulan dana sehingga AS$2.68 bilion (RM12.64 bilion) adalah 'salah satu yang terbesar seumpamanya yang dikumpul oleh bank Malaysia untuk projek luar negara'.

Kebanyakan bank utama di Malaysia dan di peringkat global telah menyatakan komitmen untuk tidak membiayai mana-mana loji jana kuasa arang batu baharu termasuk tidak menawarkan pembiayaan peralihan kepada pelepasan yang lebih rendah untuk loji sedia ada atau untuk penutupan awal loji.

Malah, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini turut mengumumkan bahawa Malaysia merancang untuk mengurangkan loji jana kuasa arang batu di negara ini kepada 50 peratus menjelang 2035 dan menamatkan sepenuhnya loji tersebut menjelang 2044.

Antara yang mengkritik keputusan itu adalah Christina Ng yang merupakan Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Energy Shift Institute, yang memfokuskan kepada peralihan tenaga terutama di Asia.

"Saya rasa banyak yang perlu dikaji semula, dari segi mengapa Malaysia melakukan perjanjian ini. Saya rasa Malaysia dan Vietnam perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada ini adalah sesuatu yang mereka perlukan pada masa ini.

"EXIM Bank yang terlibat dalam menyokong perjanjian ini, telah memberi imej yang tidak baik kepada kerajaan Malaysia kerana ia dilihat bertentangan dengan apa yang diuar-uar di peringkat global berkenaan komitmen Malaysia untuk tidak ada loji jana kuasa arang batu dan Perjanjian Paris," katanya seperti dilapor The Edge.

Pada Jun, Christina menerusi komentar beliau mempersoalkan perjanjian arang batu tersebut dan bagaimana ia akan menjejaskan komitmen Vietnam terhadap Perkongsian Peralihan Tenaga Adil (JETP), di mana negara itu akan menerima pembiayaan untuk menyahkarbonkan sistem tenaganya.

Kata beliau, Song Hau 2 berkemungkinan akan mengakibatkan pelanggaran had puncak kuasa arang batu 30.2GW di bawah perjanjian JETP dengan mengambil kira loji jana kuasa arang batu semasa dan masa hadapan yang sedang beroperasi atau dalam pembinaan.

Menurut kenyataan bersama mengenai pelancaran Pelan Mobilisasi Sumber untuk JETP Vietnam, AS$15.8 bilion dalah komitmen kepada JETP.

Sebagai pertukaran, Vietnam perlu mencapai sasaran seperti mengehadkan kapasiti puncak penjanaan arang batu kepada 30.2GW dan mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk menyumbang sekurang-kurangnya 47 peratus daripada penjanaan elektrik menjelang 2030.

“Jika anda lihat rancangan pembangunan kuasa terbaharu kerajaan Vietnam, 30.2GW telah pun dipenuhi jana kuasa arang batu sedia ada, termasuk segala apa yang sedang dalam pembinaan,” kata Christina.

Memetik Pelan Pembangunan Tenaga 8 Vietnam, arang batu untuk penjanaan kuasa akan dihentikan secara berperingkat menjelang 2050, sama ada dengan menyahtauliah loji atau menukarnya untuk menggunakan tenaga biojisim atau ammonia.

Projek jana kuasa arang batu Song Hau 2 telah diusahakan oleh Toyo sejak 2007.

Pada April 2024, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam mengeluarkan 'notis niat penamatan' jika pembiayaan tidak ditetapkan sebelum 30 Jun 2024.

Pada 1 Julai, Toyo mengumumkan bahawa ia telah menangguhkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pentauliahan dan pembinaan projek itu sehingga enam bulan.

EXIM Bank bagaimanapun menjelaskan bahawa pelan peralihan tenaga Vietnam telah mempertimbangkan garis masa operasi projek Song Hau 2 dan teknologi USC akan membantu negara itu mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Ia berkata loji itu akan mengatasi kekurangan tenaga di selatan Vietnam.

Mengulas lanjut, EXIM Bank berkata, teknologi USC yang digunakan untuk Song Hau 2 boleh mengurangkan pelepasan bahan pencemar melalui pembakaran yang lebih bersih dan mempunyai fleksibiliti yang lebih tinggi untuk menyokong perubahan tenaga angin dan solar serta menampung keperluan pengumpulan dan penyimpanan karbon.

Teknologi USC dikatakan menjadikan loji jana kuasa itu lebih cekap yang ditentukan oleh tekanan dan suhu stim yang dihasilkan daripada pembakaran wap arang batu yang memasuki turbin.

Loji jana kuasa arang batu yang dikatakan menggunakan teknologi USC di Malaysia termasuk Loji Janakuasa Tenaga Tanjung Bin oleh Malakoff Corp Bhd serta Manjung 4 dan Manjung 5 yang dikendalikan Tenaga Nasional Bhd.

Tidak jelas sejauh mana loji ini lebih cekap berbanding loji konvensionalnya dan sejauh mana ia menyumbang kepada pelepasan yang lebih rendah.