Bajet 2018 akan memberi tumpuan kepada usaha mempergiatkan pelaburan domestik dan pada masa sama menumpukan kepada pembangunan generasi masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperluaskan keterangkuman.

Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, selaras dengan persekitaran luaran dan perkembangan ekonomi domestik, kerajaan akan mewujudkan dimensi baharu bagi menyediakan peluang kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

"Pada dasarnya, inisiatif strategik itu akan terus memperkukuhkan asas ekonomi negara dan menyediakan asas untuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 negara teratas pada 2050," katanya.

Dalam mencapai sasaran tersebut, katanya negara perlu memanfaatkan beberapa peluang dan mengatasi beberapa cabaran.

"Dalam jangka panjang, penyelarasan struktur diperlukan untuk menyusun semula dasar dengan mengambil kira realiti baharu ekonomi global," katanya.

Berlatarbelakangkan situasi ini, katanya cabaran Malaysia adalah membangunkan strategi baharu untuk meningkatkan lagi daya tahan ekonomi domestik dalam menghadapi landskap yang sentiasa berubah.

Menurut laporan itu, Bajet 2018 akan memberi tumpuan untuk menggalakkan pelaburan domestik bagi merangsang pertumbuhan dan meningkatkan pembangunan seimbang di seluruh negara selain meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan asing.

Katanya usaha juga akan diambil untuk menarik pelaburan yang besar dalam bidang pertumbuhan baharu seperti ekonomi digital, pelancongan perubatan, industri halal dan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

"Di samping itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan diberi insentif bagi memanfaatkan Revolusi Perindustrian 4.0 untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti, pulangan pelaburan, gabungan teknologi dan megatrend industri," katanya.

Bagi mengekalkan peranan sektor perkhidmatan sebagai pemacu utama pertumbuhan, katanya kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Blueprint Sektor Perkhidmatan serta Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan.

"Bagi menyokong pembangunan strategik industri pelancongan penjagaan kesihatan di Malaysia dan menaikkan profil negara sebagai destinasi pilihan global untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, lebih banyak hospital akan dibina dan hospital sedia ada akan dinaik taraf," kata laporan itu.

Katanya model pembiayaan perniagaan yang cekap dan cukup fleksibel sesuai dengan keperluan dan peluang pasaran adalah perkara utama bagi membolehkan pengagihan modal secara optimum untuk bidang pertumbuhan baharu terutamanya meningkatkan keusahawanan dalam negara.

"Sehubungan itu, bajet akan memperkenalkan pelbagai langkah untuk mewujudkan industri modal teroka yang rancak dalam negara," katanya.

Di samping mengiktiraf kepentingan untuk merancakkan ekonomi berasaskan modal, katanya kerajaan kekal komited untuk mempromosikan ekonomi berteraskan rakyat yang membolehkan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada kekayaan negara.

Bajet 2018 akan memberi tumpuan kepada pembangunan bandar dan luar bandar, termasuk menaik taraf jalan Persekutuan dan negeri serta jambatan, katanya.

Bagi terus memperkasakan wanita, katanya program akan disesuaikan untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam ekonomi.

Katanya peruntukan turut disalurkan untuk memperkasakan masyarakat Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak.

"Agenda Bumiputera akan diperkukuhkan lagi untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi," katanya.

Menurut laporan itu, usaha juga akan dipergiatkan untuk menganjak potensi pencapaian nilai-kos terbaik melalui Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) bagi melengkapkan landasan konsolidasi fiskal kerajaan.

"Langkah ini melibatkan pelaksanaan program dan projek berimpak tinggi dengan pantas pada kos yang rendah," katanya.

-- BERNAMA

** Saksikan pembentangan Bajet 2018 di www.astroawani.com/live-tv