KUALA LUMPUR: Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Perdagangan Kemboja Pan Sorasak dan membincangkan pelbagai isu dan peluang ke arah mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara Putrajaya dan Phnom Penh.

"Kami mengambil maklum mengenai hubungan perdagangan yang amat baik meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik ini dengan jumlah perdagangan yang menggalakkan antara kedua-dua negara (meningkat) dengan ketara sebanyak 16.9 peratus pada 2021," katanya menerusi Twitter semalam.

Jumlah perdagangan Kemboja-Malaysia melepasi AS$500 juta (AS$1=RM4.18) pada 2021, meningkat 13.14 peratus tahun ke tahun.

Menurut laporan, eksport negara itu ke Malaysia melebihi AS$101 juta pada tahun lepas, naik 2.62 peratus daripada lebih AS$98 juta pada 2020 manakala import mengatasi AS$399 juta, meningkat 16.16 peratus daripada lebih AS$343 juta.

Mohamed Azmin, yang merupakan antara kenamaan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kemboja, berkata: "Saya mengulangi bahawa Kemboja kekal sebagai rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia dan kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Kemboja."

Ismail Sabri dalam lawatan rasmi selama dua hari ke negara itu.


Selain Mohamed Azmin, Perdana Menteri turut diiringi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaludin Alias, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan pegawai kanan kerajaan.

"Kehadiran Malaysia di Kemboja adalah penting. Sebagai negara pelaburan langsung asing (FDI) ketiga terbesar, penting untuk mengambil peluang daripada hubungan perdagangan yang kukuh ini dengan Kemboja dan mengkaji cara bagaimana syarikat di Kemboja dapat membantu kerajaan (dan) hubungan perdagangan kami," kata menteri kanan itu di Twitter.

FDI Malaysia di Kemboja berjumlah AS$3.53 bilion antara 1994-2020, di belakang China dan Korea Selatan. Pelaburan Malaysia terutamanya adalah dalam sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan tenaga dan hiburan.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengadakan pertemuan dengan wakil dari Maybank Cambodia, Hong Leong, NagaCorp, Leader Group, LPGas Engineering, Khmer Times, Dragonfly Fintech, HNG Capital dan Smart Axiata.

Antara lain, katanya beliau berbincang dengan mereka mengenai penguatkuasaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) di Malaysia, termasuk bagaimana syarikat Malaysia dapat bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana tempatan Kemboja untuk meraih manfaat daripada RCEP.


-- BERNAMA