LAS VEGAS: Superapp terkemuka Asia Tenggara, Grab, memilih Amazon Web Services (AWS) sebagai penyedia teknologi awan pilihan mereka, membuka lembaran baharu dalam strategi pertumbuhan berteraskan teknologi.

Kerjasama ini, yang diumumkan di persidangan AWS re:Invent 2024, membolehkan Grab meningkatkan operasi dalam sektor mobiliti, penghantaran dan perkhidmatan kewangan, termasuk perbankan digital di lapan negara serantau.

Grab, yang menawarkan khidmat kepada 41.9 juta pengguna aktif bulanan dan 13 juta pemandu serta rakan penghantaran, memproses jutaan transaksi dan isyarat GPS setiap saat.

Justeru melalui infrastruktur awan AWS yang kukuh, selamat, dan boleh diskalakan, Grab mampu memperkemas operasi, mengurangkan kos serta memperkenalkan perkhidmatan baharu dengan lebih pantas di negara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Strategi pertumbuhan kami berasaskan inovasi berterusan untuk memenuhi keperluan pengguna dan rakan kongsi. AWS sebagai rakan awan pilihan kami, membolehkan kami bereksperimen dengan pantas sambil memastikan keselamatan, kestabilan dan penerapan teknologi canggih seperti AI Generatif,” kata Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Grab, Suthen Thomas Paradatheth.

Grab turut menggunakan kemampuan pembelajaran mesin (ML) AWS, termasuk cip khas AWS Inferentia dan Amazon Elastic Kubernetes Service (EKS).

Teknologi ini menyokong model AI seperti Catwalk, yang meningkatkan fungsi seperti pengoptimuman laluan masa nyata, pengesanan penipuan dan cadangan peribadi.

Grab kini memproses lebih 200 terabait data setiap hari, yang menjadi asas kepada inisiatif AI untuk menyediakan perkhidmatan tersuai seperti cadangan restoran dan produk kewangan khusus.

Dengan mengintegrasikan model bahasa besar (LLM) bersama teknologi AWS, Grab telah meningkatkan ketepatan penghantaran dan keterangan menu makanan, memberi manfaat kepada perniagaan kecil serta meningkatkan kepuasan pelanggan.

Pendekatan berasaskan AI ini turut meningkatkan kadar penyempurnaan pesanan dan pendapatan pemandu.

 "AWS berbangga menyokong Grab dalam menyediakan transaksi yang diperibadikan dan lancar kepada jutaan pengguna. Dengan memanfaatkan teknologi kami yang boleh diskala dan selamat, Grab terus memimpin inovasi dalam ekonomi digital serantau," kata Pengarah Urusan ASEAN di AWS, Jeff Johnson.

Sementara itu Pengarah Urusan, Perusahaan Pasaran Sederhana dan PKS, ASEAN, AWS Gunish Chawla berkata: “Grab dan AWS mempunyai hubungan akrab sejak 2012. Justeru penting untuk kami menyediakan infastruktur yang membolehkan perkhidmatan dibangunkan dan diskalakan merentas pelbagai negara di mana Grab beroperasi.”

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.