Astro Go Shop melancarkan saluran berbahasa Mandarin pertamanya pada Isnin.

Sepertimana saluran Go Shop sedia ada, Saluran 318 ini juga akan bersiaran 24 jam dalam definisi tinggi (HD).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan, pelancaran saluran ini didorong kejayaan saluran Go Shop berbahasa Melayu serta Inggeris di pelbagai platform sejak Januari 2015.

“Di Astro, kami melihat potensi yang besar bukan sahaja dalam home shopping, tetapi juga dalam sektor e-dagang secara keseluruhannya.

“Sejak kami melancarkan Go Shop, kami telah melihat pertumbuhan yang sangat menggalakkan bukan sahaja daripada segi pendapatan, malah dalam jumlah penonton, daya tarikan dan betapa cepat jenama ini meningkat,” kata Rohana.

Sasaran pendapatan bagi saluran Go Shop keseluruhannya adalah RM170 juta menjelang akhir tahun ini.

Rohana menambah bahawa Astro harus memanfaatkan pasaran runcit negara yang dijangka tumbuh empat peratus tahun ke tahun dan sektor e-dagang yang diunjur meningkat 44 peratus bernilai RM3.6 bilion menjelang 2020.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro GS Shop Sdn Bhd, Datuk Rozalila Rahman berkata lebih banyak produk akan dipasarkan sempena pelancaran Saluran 318 itu.

Go Shop akan turut memasarkan beberapa produk sempena akhir tahun dan musim kembali ke sekolah.

Turut diperkenalkan skim pembayaran mudah Go Shop yang memudahkan pelanggan melakukan pembelian secara dalam talian.

“Tawaran terkini Go Shop adalah skim pembayaran mudah. Ini kerana kita menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjalankan semua transaksi e-dagang menggunakan urus niaga bukan tunai. Mengapa? Kerana ianya selamat.

“Selain itu, jika anda menggunakan kad kredit anda yang sedia ada, anda juga akan memperoleh mata kesetiaan tambahan. Jadi dengan skim pembayaran mudah ini, pelanggan boleh membayar faedah kosong peratus dan di sebalik itu, mereka juga boleh mendapat lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan," kata Rozalila.

Sehingga Julai 2015, Go Shop mencatat pendapatan RM75 juta, dengan 500 ribu unit produk sudah terjual kepada 250,000 pelanggan di seluruh negara sejak November 2014.