KUALA LUMPUR: Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) semalam mengumumkan peletakan jawatan anak Premier Sarawak, Abang Abdillah Izzarim Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari sebagai pengerusi eksekutif.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 yang diadakan, Abang Abdillah Izzarim, 45, membuat keputusan bersara mengikut Perkara 127 Perlembagaan Syarikat.

Pada 28 Jun lalu, Abang Abdillah Izzarim merupakan Pengerusi PP Telecom dilantik sebagai pengerusi eksekutif kumpulan itu.

Ketika itu, beliau juga adalah pengarah untuk Cempaka Helicopter Corporation Sdn Bhd manakala Marcus Chin adalah Ketua Pegawai Kewangan Artroniq Berhad, serta Pengarah Eksekutif di APB Resources Berhad.

Menerusi AGM itu juga, bekas Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Zaini Jass, 60, dilantik sebagai pengerusi baharu bagi menggantikan Abang Abdillah Izzarim berkuat kuasa semalam.

Datuk Seri Zaini Jass. - Foto DagangNews

Zaini berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 1985 sebelum bersara tahun ini dan sepanjang bersama pasukan itu beliau menyandang pelbagai jawatan termasuk Pesuruhjaya Polis Sabah.

Selain itu beliau juga merupakan pengarah dalam beberapa syarikat termasuk Artroniq Berhad dan Asdion Berhad. - DagangNews.com