Ambank (M) Bhd akan menerbitkan lima waran opsyen belian berstruktur pelunasan tunai ala Eropah bagi saham-saham biasa AEON Co.(M) Bhd (AEON), Carlsberg Brewery Malaysia Bhd (CARLSBG), Parkson
Holdings Bhd (PARKSON), QL Resources Bhd (QL) dan SapuraKencana Petroleum Bhd (SKPETRO).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ambank berkata waran-waran itu akan disenaraikan bagi dagangan pada 5 Mac, 2013, melalui kaedah penggerakan pasaran, dengan saiz terbitan hingga 100 juta setiap satu dan tempoh selama kira-kira 12 bulan.

Pengarah/Ketua (Derivatif Ekuiti) AmInvestment Bank Bhd, Ng Ee Fang, berkata ini akan dilaksanakan meskipun dalam keadaan politik yang tidak menentu sekarang dan risiko yang melanda pasaran ketika Malaysia bersiap-siap bagi pilihan raya umum yang dinanti-nantikan.

Beliau berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar suku keempat 2012 Malaysia terus meningkat dengan kadar yang mengejutkan pada 6.4 peratus berbanding anggaran purata penganalisis sebanyak hanya 5.5 peratus.

"Pertumbuhan kukuh ini adalah ekoran pelaburan sektor awam dan swasta yang berdaya tahan serta penggunaan domestik," katanya.

Kata beliau perbelanjaan pengguna terus kukuh dengan peningkatan sebanyak 6.1 peratus secara perbandingan tahun ke tahun, berikutan pelbagai inisiatif bantuan wang kerajaan dan kadar pengangguran yang rendah.

"Bagi tranche waran AmBank yang akan datang, AmBank akan menawarkan waran opsyen belian bagi kaunter-kaunter pengguna atau berkaitan pengguna AEON, CARLSBG, PARKSON, QL dan SKPETRO," kata Ng.

"Selain itu, AmBank akan juga menawarkan waran opsyen belian bagi SapuraKencana Petroleum Bhd yang berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan lebih banyak kontrak dari luar negara untuk menambah lagi kontraknya yang sedia ada dalam negara," jelas beliau.

"Tawaran ini disasarkan kepada pelabur-pelabur canggih yang mahu berurus niaga berdasarkan hala tuju dan turun naik AEON, CARLSBG, PARKSON, QL dan SKPETRO," kata AmBank.

Ia berkata waran-waran itu mempunyai gearan dari 2.93 hingga 6.69 dan disasarkan kepada pelabur-pelabur yang mahu menikmati pelaburan berpengaruh dalam saham-saham yang boleh diurus niaga melalui waran opsyen belian.

AmBAnk berkata kesemua lima waran opsyen belian itu berharga 15 sen setiap satu, dengan gearan yang pelbagai - AEON 2.93 kali, CARLSBG 4.08 kali, PARKSON 6.25 kali, QL 6.69 kali dan SKPETRO 4.78 kali.

AmBank Group ialah satu daripada kumpulan perbankan terbesar di Malaysia berdasarkan permodalan pasaran dan terdiri daripada AMMB Holdings Bhd dan anak-anak syarikatnya, AmInvestment Bank Bhd, AmInvestment Group Bhd, AmBank (M) Bhd, AmIslamic Bank Bhd, AmG Insurance Bhd dan AmLife Insurance Bhd.

Kumpulan ini menyediakan rangkaian luas penyelesaian perbankan dan kewangan Islam dan konvensional.