Peniaga Ais Krim Goyang jenama "Best Ice Cream", Mohd Farid Malik, 24 (kiri) dan rakannya, Mohd Hafizi Abdul Rahman, 21 (kanan) meniaga Ais Krim goyang yang berharga RM1 di Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Siapa sangka perniagaan aiskrim 'goyang' yang diilhamkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Malik Mizan, 54, menerusi jenama 'Best Ice Cream' mampu menjana pendapatan lumayan.
Bekas pegawai berpangkat leftenan itu juga sedang membina rangkaian perniagaan ais krimnya terutama untuk diceburi golongan muda sejajar dengan hasrat kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera.
Malik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Duta Prosper Sdn Bhd, pemilik jenama Best Ice Cream itu, berkata melalui perniagaan itu beliau bertekad untuk melahirkan sebanyak 10 jutawan aiskrim di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai jika para usahawan muda menunjukkan kesungguhan dalam perniagaan yang konsepnya adalah mudah, bermodal kecil dan berisiko rendah itu.
PAKEJ USAHAWAN MODAL INSAN
Syarikat itu turut memperkenalkan Pakej Usahawan Modal Insan kepada generasi muda yang ingin menjadi usahawan Best Ice Cream dengan berbekal modal sebanyak RM10,000.
"Kami akan berikan kursus dan latihan selama dua hari satu malam mengenai cara pembuatan aiskrim, pengurusan perniagaan, penyenggaraan peralatan, strategi pemasaran dan motivasi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Hulu Kelang di sini.
Selain latihan, syarikat juga akan menyediakan kiosk, mesin aiskrim, peti beku (freezer), loceng aiskrim, baju T, topi, apron, lidi buluh serta bahan mentah.
Bapa kepada 10 anak itu berkata, pada masa ini syarikat yang baru berusia tujuh bulan itu telah berjaya melahirkan sebanyak 20 usahawan Best Ice Cream dan 300 lagi masih menunggu kelulusan pinjaman.
"Sekiranya tiada modal, kami akan membantu menguruskan pinjaman di agensi-agensi terpilih dan mendapatkan tapak perniagaan khususnya di tempat-tempat tumpuan orang ramai," katanya.
Aiskrim goyang yang menggunakan teknologi Thailand sudah lama memasuki pasaran negara ini dan aiskrim itu boleh didapati terutamanya di pasar-pasar malam. --fotoBERNAMA
KONSEP PERNIAGAAN ALA FRANCAIS
Apa yang menarik perniagaan ala francais ini berupaya menjana pendapatan sehingga lebih RM10,000 sebulan jika para usahawannya gigih dan mempunyai rangkaian usahawan yang kukuh di bawahnya.
"Jika anda mengesyorkan perniagaan ini kepada rakan-rakan dan mereka berminat, maka anda akan mendapat insentif secara 'one-off' sebanyak RM500 untuk setiap usahawan yang anda perkenalkan," katanya.
Selain itu, mereka juga akan mendapat royalti sebanyak satu sen bagi setiap aiskrim yang dijual oleh usahawan yang berdaftar di bawah mereka.
"Ini bermakna, semakin besar rangkaian usahawan anda semakin besarlah pulangan yang anda dapat. Ini tidak termasuk pendapatan daripada hasil jualan aiskrim anda sendiri," katanya.
SOFT ICE CREAM
Malik berkata aiskrim goyang yang menggunakan teknologi Thailand itu sudah lama memasuki pasaran negara ini dan aiskrim itu boleh didapati terutamanya di pasar-pasar malam.
Bagaimanapun aiskrim itu menggunakan bahan minuman berkarbonat dan minuman kotak yang ternyata tidak baik untuk kesihatan kerana kandungan gulanya yang tinggi.
"Justeru, saya mula terfikir untuk memberikan konsep baru kepada aiskrim goyang dan memulakan kajian menggunakan pelbagai bahan termasuk bubur kacang hijau," katanya.
Kajian selama dua tahun itu menghasilkan aiskrim yang lebih enak dan teksturnya lembut berbanding aiskrim yang menggunakan minuman berkarbonat dan minuman kotak.
Melalui kajian itu juga, syarikatnya menghasilkan produk Best Ice Cream dengan tiga perisa yang menggunakan ramuan 'soft' ice cream yang bermutu, berkualiti serta halal termasuk susu tepung skim, minyak koko, minyak isi rung kelapa sawit, esen vanila serta perasa coklat dan strawberi.
Beliau berkata aiskrim itu diproses di sebuah kilang di Batu Caves yang mendapat pengiktirafan sijil Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Analisis Bahaya Titik Kawalan Kritikal (HACCP) serta sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
KEENAKAN YANG MEMIKAT
Beliau berkata produk Best Ice Cream mula diperkenalkan kepada umum pada September 2013 di Karnival Usahawan Desa, Putrajaya dan mendapat sambutan menggalakkan dengan pembeli mengakui keenakan dan kelembutan aiskrim itu.
"Kami berjaya menjual sehingga 7,000 batang aiskrim goyang pada karnival tiga hari itu dan mesin aiskrim berwarna pelangi juga menarik perhatian bukan sahaja kanak-kanak malahan golongan dewasa," katanya.
Pada masa ini aiskrim perisa coklat dan vanila menjadi kesukaan ramai dan beliau kini bercadang untuk menghasilkan aiskrim perisa durian dan keladi serta ditambah nilai dengan 'topping' coklat.
Mengenai proses membuat aiskrim itu, Malik berkata, ada yang hairan kerana aiskrim itu boleh membeku cepat dengan hanya menggoyang-goyangkan mesin tanpa menggunakan bekalan elektrik.
Beliau berkata proses membuat aiskrim dimulakan dengan mencampurkan garam kasar sebagai bahan utama proses pembekuan, ketulan ais, cecair aiskrim serta air yang dimasukkan ke dalam mesin sebelum digoyangkannya untuk menyebati dan membekukan aiskrim itu.
Ketika separuh beku, lidi-lidi yang akan menjadi pemegang aiskrim dimasukkan ke dalam kelongsong acuan dan digoyang untuk kali kedua bagi membolehkan pembekuan sepenuhnya.
Malik berkata syarikatnya juga bercadang melebarkan rangkaian perniagaan aiskrim goyang itu dengan memasuki pasaran Indonesia apabila kedudukan syarikat bertambah kukuh.
Peniaga Ais Krim Goyang jenama "Best Ice Cream", Mohd Farid Malik, 24, menunjukkan tiga perisa ais krim yang dijual di gerainya iaitu, coklat, strawberi dan vanila yang berharga RM1. --fotoBERNAMA
BERNIAGA DI HADAPAN SEKOLAH
Pada masa ini antara lokasi utama perniagaan aiskrim itu yang dikendalikan oleh para usahawannya adalah di lokasi tumpuan ramai termasuk di luar perkarangan sekolah.
Salah seorang usahawan Best Ice Cream, Mohd Farid Malik, 24, mengakui perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan sejak belilau memulakan perniagaan sebulan yang lalu di hadapan Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat.
"Setelah sebulan berniaga, saya mampu meraih pendapatan mencecah RM3,000, dan tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan ibu bapa," katanya ketika ditemui di lokasi perniagaannya.
Beliau bersyukur melalui perniagaan itu, beliau kini mampu berdikari dan berupaya menghulurkan wang kepada ibu bapanya.
Mohd Farid, dibantu oleh rakannya Mohd Hafizi Abdul Rahman, 21, tiba di hadapan sekolah itu seawal pukul 11.30 pagi bagi sesi pagi dan 5 petang sebelum murid-murid selesai persekolahan sesi petang.
IBU BAPA TURUT MINAT AISKRIM GOYANG
Produk berjenama Best Ice Cream bukan sahaja digemari kanak-kanak malah ibu bapa juga kerana keenakan produk aiskrim tempatan itu setanding dengan jenama aiskrim lain.
Di hadapan sekolah itu, beliau berupaya menjual 300 batang aiskrim dengan nilai jualan sebanyak RM300 sehari.
Menurut Mohd Farid lagi, semasa memulakan perniagaan itu, ada yang cuba membandingkan harga aiskrim jualannya dengan harga aiskrim yang lebih murah di pasar malam.
Bagaimanapun, mereka akhirnya memilih aiskrim jualannya kerana keenakannya yang tersendiri.
Selain berniaga di sekolah, Mohd Farid turut berniaga aiskrim di 'down town' The Mines pada sebelah malam.
"Pada hari biasa saya boleh menjual kira-kira 100 batang aiskrim, tetapi pada hujung minggu dan cuti perayaan, memang tidak menang tangan kerana lebih 300 batang aiskrim saya habis dijual pada sebelah malam," katanya.
Mohd Farid berkata beliau mensasarkan untuk memperolehi pendapatan sehingga RM10,000 sebulan dan sedang mengembangkan perniagaannya menerusi dua orang usahawan di bawah rangkaiannya.
"Saya juga mempromosikan Best Ice Cream jualan saya di laman sosial seperti Facebook dan Instagram dan melaluinya ada juga yang berminat untuk menyertai perniagaan ini," katanya. -- Oleh Haslinda Zainal, Bernama