KUALA LUMPUR: AirAsia bakal menawarkan pengalaman baharu buat pengguna perkhidmatan e-hailing.

Jika perkhidmatan itu ketika ini cukup sinonim dengan penghantaran penumpang menggunakan kenderaan darat, kini AirAsia merancang menawarkan perjalanan udara menggunakan pesawat electric vertical take-off and landing (eVTOL).

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes pada Rabu.

"Dilancarkan hari ini (Rabu). AirAsia Ride kini berada di udara.

"Bakal bermula (dari) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke KL Sentral hanya 11 minit!" katanya dalam perkongsian di Instagram.




Perkhidmatan itu ditawarkan secara ride sharing atau perkongsian penumpang.

Terdahulu, AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) menandatangani kerjasama dengan syarikat penyediaan pesawat yang berpangkalan di Ireland, Avolon untuk menyewa sekurang-kurangnya 100 unit pesawat elektrik kecil jenis VX4 eVTOL.

Persefahaman itu sekali gus mentransformasi perkhidmatan e-hailing dan perjalanan udara dengan sistem lebih canggih yang ditawarkan buat pelbagai segmen serta sasaran pengguna.

Perincian berkenaan pengoperasiannya belum didedahkan kepada umum, namun difahamkan ia akan mula ditawarkan pada 2025.