Air Sungai Kelantan melimpah dan mula membanjiri kawasan rendah di bandar ini sejak awal pagi dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Tinjauan Bernama di sekitar Jalan Post Office Lama dan Pasar Kubang Pasu mendapati air mula melimpah ke jalan raya dan pemilik premis perniagaan turut menutup operasi.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja di sini setakat pukul 10 pagi ini telah melepasi paras bahaya iaitu pada paras 5.91 meter (paras bahaya 5 meter).

Bandar ini pernah dilanda banjir besar pada 2004 sehingga melumpuhkan seluruh bandar tersebut, dan mengakibatkan kerugian berjuta ringgit.

Sementara itu, peniaga peralatan elektrik Leong Khoon Seng, 52, berkata pada banjir 2004, beliau mengalami kerugian besar apabila sebahagian besar alatan elektrik musnah.

"Masa itu air naik pada waktu malam dan saya tidak sempat menyelamatkan peralatan elektrik di kedai saya ini," katanya.

Leong berkata untuk tidak mahu menanggung risiko seperti dahulu, kali ini beliau melakukan persiapan lebih awal bagi mengelakkan peralatan elektriknya terjejas.

Sementara itu beberapa penduduk yang tinggal di rumah rakit di tebing sungai itu juga sudah membuat persiapan awal dengan mengikat kukuh rumah masing-masing bagi mengelak dihanyutkan arus deras.

"Rumah, kami sudah ikat dengan tali yang kukuh, tetapi apa yang kami bimbang adalah batang balak yang hanyut dalam keadaan arus deras ini yang boleh merempuh rumah kami," kata Ali Shahbudin, 56.

Jirannya, Mek Minah Ali, 52, berharap air sungai akan cepat surut kerana khuatir air banjir dari Gua Musang dan Kuala Krai akan mengalir turun ke sungai ini dan mengakibatkan keadaan banjir lebih buruk.

Paras air di Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Kelantan di Tangga Krai juga dilaporkan terus meningkat dengan masing-masing melepasi paras bahaya.

Bacaan di Sungai Galas kini ialah 45.65 meter (paras bahaya 38 meter), Sungai Lebir 36.13 meter (paras bahaya 36 meter) dan Tangga Krai 32.36 meter (paras bahaya 25 meter).

Tinjauan Bernama juga mendapati kanak-kanak mengambil kesempatan bermain air banjir dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah meminta ibu bapa mengawasi anak mereka daripada bermain air kerana khuatir boleh mengundang bahaya.

"Kita bimbang ada yang terjatuh longkang atau terkena renjatan elektrik selain membahayakan kesihatan berikutan air berlumpur," menurut jurucakap bomba.