Tiada alasan ponteng puasa bagi pesakit diabetes

Malissa Sahari
Julai 6, 2014 13:29 MYT
Senaman ringan boleh membantu pesakit mencergaskan badan mereka. -Gambar Fail
Diabetes atau kencing manis merupakan satu penyakit yang digeruni masyarakat. Pelbagai komplikasi serius disebabkan penyakit ini antaranya, katarak, sakit buah pinggang malah boleh membawa maut.
Meskipun begitu, menghidap diabetes yang beragama Islam masih mampu dalam mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan.
"Tiada alasan untuk ponteng puasa," Demikian reaksi seorang ibu tunggal Hairani Halim, 56 tahun yang menghidap penyakit diabetes lebih dua dekad itu. Meskipun telah lama mengalami sakit kronik yang boleh membawa maut itu.
"Dah lama dah auntie dapat penyakit ini. Mula-mula dikesan sewaktu saya mengandung anak keempat, dan sejak dari itu diabetes terus kekal dalam hidup auntie,"
"Bukan mudah untuk berpuasa kalau kita ada penyakit ini, tapi itu bukan alasan untuk tidak berpuasa bukan,?" kata wanita yang tinggal di Flat Pantai Dalam itu.
Ibu kepada lima anak ini mampu tersenyum meskipun sedar penyakit diabetes atau kencing manis itu.
'Suntikan Insulin'
Mengambil suntikan insulin hampir 20 tahun, Hairani mengakui tahun pertama amat sukar buatnya. Ini kerana bukan mudah mengendalikan suntikan insulin sendiri tanpa pengawasan doktor atau pegawai perubatan.
Sekiranya hari biasa, beliau akan mengambil 3 suntikan sehari. Jika di bulan ramadan hanya dua suntikan akan diambil iaitu dua jam sebelum waktu berbuka dan sebelum bersahur.
Wartawan Malissa Sahari sedang mendengar kisah cerita Hairani Halim, pesakit diabetes. -Astro AWANI
Katanya bukan mudah untuk mengambil suntikan insulin. Pesakit perlu pandai mencari tempat yang tidak menyakitkan untuk disuntik. Menurut laman web kementerian kesihatan Malaysia, terdapat perbezaan dalam ketebalan subkutaneus di antara bahagian-bahagian tubuh badan yang digunakan untuk menyuntik insulin.
Masa yang diperlukan oleh badan untuk menyerap insulin adalah penting. Setiap bahagian badan mempunyai tahap penyerapan yang berbeza dan untuk memastikan kesan dos insulin yang sama, seseorang itu perlu menyuntik pada bahagian yang sama setiap hari.
Kecepatan penyerapan bergantung kepada bahagian mana yang disuntik.
Suntikan di peha dan pinggul memberikan kesan yang lambat. Ia berbeza dengan lengan yang memberikan kesan sederhana. Kawasan yang paling sesuai untuk menerima suntikan adalah di bahagian perut.
Alat suntikan insulin yang digunakan untuk pesakit diabetes. -Astro AWANI
'Senaman 15 minit sehari'
Untuk menjalani kehidupan yang sihat, senaman ringan boleh membantu pesakit mencergaskan badan mereka. Banyak aktiviti riadah yang dapat dibuat seperti senam robik, poco-poco dan sebagainya.
"Auntie suka poco-poco, kita kena bersenam juga untuk kesihatan. Jangan beratkan badan," kata wanita lebih separuh abad itu dengan nada yang bersungguh-sungguh.
"Senaman bergantung kepada individu, di rumah pun boleh senam. Paling lama 15 minit, kalau malas 10 minit pun tidak mengapa,"
'Faktor keturunan'
Hairani turut memberitahu wartawan bahawa penyakit ini turut diperolehi atas faktor keturunan. Katanya kedua ibu bapanya menghidap penyakit yang sama malah telah meragut nyawa ibunya 3 tahun yang lalu.
"Emak auntie meninggal disebabkan kencing manis dan sekarang ayah auntie merana sehingga jari kakinya dipotong akibat kencing manis,"
Oleh sebab itu, Hairani turut menasihati anak-anaknya agar sentiasa menjaga pemakanan dan tidak mengikut jejaknya.
"Kencing manis ini memang sangat merbahaya, sebab itulah kita kena jaga pemakanan. Auntie mengaku memang susah, sebab itu auntie kena ambil suntikan insulin sebab tahap kencing manis auntie sudah kritikal."
Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), suntikan insulin di perut paling cepat berkesan. -Astro AWANI
Hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada tahun 2007. Kajian persatuan diabetes Malaysia dan Majlis Pencegahan Obesiti tahun lalu pula mendapati jumlah penghidap kencing manis di Malaysia meningkat.
Tahun 2008 sahaja pesakit diabetes mencecah 650,000 penghidap sakit kronik ini.
#diabetes #insulin #keturunan #pesakit #puasa #Ramadan #senaman
;