Rawatan bekam ketika berpuasa

Bernama
Julai 15, 2014 13:49 MYT
Rawatan bekam tidak membatalkan puasa kerana ia bukan memasukkan sesuatu ke dalam anggota badan.
"Boleh ke berbekam ketika puasa? tak batal puasa ke?" tanya seorang rakan kepada penulis ketika menyatakan hasrat untuk berbekam.
Pada awalnya penulis juga ragu-ragu dan mempunyai persepsi yang sama. Perkara yang dibimbangi mungkin rawatan itu akan menjejaskan ibadah puasa kerana darah akan keluar menerusi titik-titik rawatan itu.
Berbekam ketika puasa lebih baik
Persepsi itu sememangnya sering berlaku dan dibangkitkan kebanyakan orang yang ingin mendapatkan rawatan bekam kerana tidak mengetahui kebaikannya, menurut Pemilik Pusat Terapi Bekam Sunah Saujana Utama, Sungai Buloh, Suhaimi Abdul Karim.
Soalan yang biasa ditanya tentang hukum berbekam ketika puasa sama ada batal atau tidak.
Ini kerana rawatan sunnah itu masih belum meluas dalam kalangan masyarakat hingga membuatkan pelbagai persepsi timbul.
"Rawatan bekam tidak akan membatalkan puasa seseorang yang berpuasa kerana rawatan bekam bukannya memasukkan sesuatu dalam anggota badan sebaliknya hanya mengeluarkan darah kotor pada sel-sel kulit", katanya menjelaskan perkara itu.
Hukumnya adalah sama seperti melakukan rawatan mencabut gigi, menderma darah mahupun mendapat suntikan yang tidak membatalkan puasa.
Malah katanya rawatan bekam yang dilakukan ketika berpuasa mempunyai kesan yang lebih baik berbanding ketika tidak berpuasa kerana dapat mengeluarkan toksin dalam darah mati secara lebih aktif.
Ia terjadi kerana ketika perut kosong setelah bersahur pada awal pagi akan menjadikan darah dalam keadaan lebih rehat untuk memudahkan proses pengeluaran toksin-toksin yang berkumpul dalam sel darah mati.
"Biasanya jika tidak puasa, kita akan makan bermacam-macam benda. Badan kita akan stres dan menyebabkan toksin dalam darah tidak dapat keluar sepenuhnya.
"Apabila berbekam pada waktu puasa dalam keadaan perut kosong, yang akan keluar hanyalah darah gelap yang mengandungi toksin di badan yang jika tidak dikeluarkan boleh mengundang pelbagai penyakit. Jadi manfaatnya kepada kesihatan akan lebih", katanya kepada Bernama.
Waktu pagi paling sesuai
Suhaimi berkata waktu paling sesuai untuk berbekam ketika berpuasa ialah pada waktu pagi bermula pukul 7.00 hingga 11.00 pagi. Tidak digalakkan berbekam selepas pukul 12 tengah hari bagi mengelakkan risiko terutama pengsan.
"Selepas tengah hari, kandungan gula dalam darah akan menurun. Darah yang keluar banyak ketika rawatan itu boleh mengundang risiko pitam atau pengsan.
"Namun kadar risiko pengsan mereka yang melakukan rawatan bekam lebih rendah berbanding mereka yang menderma darah. Oleh itu bagi mereka yang berpuasa menderma darah dilakukan pada waktu malam", katanya.
Bagaimanapun ada juga yang tetap ingin melakukan rawatan bekam pada waktu petang. Ini kerana menurut Ibnu Sina yang merupakan pakar sains Islam, rawatan bekam yang paling sesuai dilakukan adalah sekitar pukul 3 petang kerana ketika itu cuaca panas dan saluran darah akan mengembang, memudahkan untuk mengeluarkan darah pada urat-urat kecil di bawah kulit berbanding waktu pagi.
Namun katanya bagi mengelakkan risiko, beliau akan mengurangkan cucukan jarum pada setiap titik bekam daripada 30 cucukan kepada antara 10 dan 15 sahaja.
Yakin berbekam ketika berpuasa
Seorang daripada yang mengamalkan rawatan bekam ketika berpuasa ialah Osman Sulaiman, 64, yang sering menghadapi bengkak di kaki selain lesu di badan.
Pada awalnya beliau turut ragu-ragu untuk berbekam pada bulan puasa kerana dibimbangi boleh membatalkan puasa.
"Setelah membaca hukum yang diputuskan tentang amalan berbekam, baharu saya tahu dan yakin untuk berbekam", katanya yang dihubungi Bernama.
Beliau berbekam setiap tiga bulan, sejak tahun lepas setelah diberitahu oleh rakannya kebaikan perubatan tersebut yang mampu mencegah pelbagai penyakit kronik.
"Bila sekali cuba, terasa badan ringan dan sihat. Jika bulan puasa saya lakukan pada waktu pagi sekitar pukul 10 pagi. Tidak ada perbezaan pun ketika berbekam bukan waktu puasa dan ketika bulan puasa.
"Alhamdulillah bengkak pada kaki saya juga semakin sembuh dan mudah untuk saya beribadat ketika bulan Ramadan", katanya.
Rawatan untuk pelbagai penyakit
Menjelaskan kebaikan rawatan bekam, Suhaimi berkata selepas 80 hingga 120 hari, sel-sel darah merah di dalam tubuh kita akan mati dan akan dibuang oleh hati. Namun tidak semua darah itu akan dapat dikeluarkan.
Oleh kerana sifatnya yang melekit dan tidak berfungsi, lama kelamaan darah mati akan memenuhi ruang-ruang urat kecil yang dipanggil kapilari, sama ada di sekeliling organ-organ penting dan di bawah kulit.
Ia kemudian akan dibawa oleh arus perjalanan darah yang laju ke semua bahagian tubuh dari kepala hinggalah ke kaki dan akan melekat antara satu sama lain serta bercampur dengan urik asid, urea dan toksin.
Apabila sel-sel darah mati yang masih tertinggal di dalam sistem perjalanan darah ia akan menjadi faktor utama tersumbatnya urat kapilari yang akan mengganggu sistem fungsi organ seperti limpa, ginjal dan hati hingga menyebabkan pelbagai penyakit kronik.
Gejala-gejala awal menunjukkan tubuh dipenuhi darah kotor yang tersumbat apabila badan menjadi lesu, letih, kebas, pening dan mengantuk, katanya.
Kebaikan berbekam sejak ribuan tahun dahulu semakin diterima dalam masyarakat Malaysia bukan sahaja dalam kalangan beragama Islam, tetapi juga kaum lain yang semakin mengetahui kebaikan berbekam.
"Ramai pesakit saya yang datang adalah dari kaum India dan Cina. Ia bukan untuk orang Islam sahaja. Semua orang boleh mendapatkan rawatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. untuk seluruh umat", ujar Suhaimi yang berharap rawatan bekam akan diterima lebih meluas lagi dalam masyarakat Malaysia. -- Kurniawati Kamarudin
#bekam #jendela ramadan #Ramadan
;