Puasa bukan halangan 'KL Pagi bebas kenderaan' - Datuk Bandar KL

Astro Awani
Julai 6, 2014 12:47 MYT
Sebahagian daripada warga kota yang turut mengambil bahagian pada Program KL Extra 'Pagi Bebas Kenderaan 2014' anjuran. -Foto BERNAMA
Seramai 30 peratus daripada 3,000 peserta kempen "Pagi Bebas Kenderaan" anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan umat Islam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ia sekali gus membuktikan berpuasa bukanlah penghalang untuk melakukan aktiviti senaman pagi di bulan Ramadan.
"Angka penyertaan umat Islam kali ini adalah sesuatu yang membanggakan. Pada mulanya, saya fikir mungkin penyertaan hari ini tidak begitu ramai kerana bulan puasa.
"Bagaimanapun, sambutannya hangat dan saya merasakan ia sudah menjadi satu budaya rakyat Kuala Lumpur sekarang," katanya.
Dalam pada itu jelas Ahmad Phesal, pihaknya bercadang untuk meneruskan kempen itu pada tahun hadapan dengan mewujudkan lebih banyak aktiviti riadah.
Kempen 'Pagi Bebas Kenderaan' merupakan antara acara yang tersenarai dalam Festival Kuala Lumpur Extravaganza sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Acara bulanan itu diadakan setiap hari Ahad pertama bertujuan mengurangkan kadar pelepasan gas karbon dioksida di kota raya berkenaan selain mengalakkan gaya hidup sihat.
DBKL turut bercadang memperbanyakkan laluan basikal di sepanjang sungai di ibu negara menerusi Projek 'River Of Life' bagi mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan rekreasi.
Hasil idea DBKL itu berjaya merubah hiruk-pikuk kota itu kepada lokasi yang menenangkan walaupun dalam tempoh dua jam bermula pukul 7 pagi sehingga 9 pagi.
Program berkenaan memberikan peluang kepada pengunjung melakukan pelbagai aktiviti riadah di jalan raya utama di ibu kota tanpa sebarang gangguan lalu lintas.
Terdapat pelbagai aktiviti dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki dan berbasikal. Ia juga menjadi saat yang terbaik buat keluarga beriadah di ibu kota.
Dalam tempoh dua jam, DBKL menutup jalan raya sepanjang enam kilometer (km) meliputi Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Tun Perak, Jalan Raja, Jalan Mahkamah Persekutuan dan Jalan Leboh Pasar dari sebarang kenderaan.
#Ahmad Phesal Talib #basikal #Datuk Bandar #DBKL #Ramadan
;