PPNJ diminta bantu tampung keperluan ayam segar untuk Ramadan dan Hari Raya
Bernama
Jun 28, 2014 16:35 MYT
Jun 28, 2014 16:35 MYT
Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) diminta memastikan ladang ternakan ayamnya dapat membantu menampung keperluan daging ayam segar sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ismail Mohammad berkata, ini kerana permintaan terhadap bahan itu dijangka meningkat 50 peratus berbanding hari-hari biasa.
"Peranan PPNJ diperlukan bagi memastikan harga ayam daging di pasaran stabil dan tidak membebankan pengguna yang menghadapi bulan Ramadan yang akan bermula Ahad ini," katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.
Mengenai bekalan daging lembu pula, beliau berkata selain meminta agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meningkatkan penawaran, pihaknya juga berharap ladang persendirian dan pengimport turut memainkan peranan mereka.
Beliau juga menyarankan pengguna mendapatkan bekalan bahan mentah terbabit dari pasar tani di seluruh negeri kerana harganya lebih berpatutan selain lebih segar dan berkualiti.