Bulan Ramadan sangat kondusif untuk berhenti merokok - MIMPA

Astro Awani
Julai 3, 2014 19:25 MYT
Perokok tegar boleh menggunakan kelebihan bulan Ramadan untuk berhenti merokok. FILE PHOTO
Suasana di bulan Ramadan sangat kondusif bagi seseorang perokok untuk berhenti merokok, Pegawai Perubatan Persatuan Integrasi Profesional Malaysia (MIMPA) Mejar (Dr) Nor Hasyimah Mahadi.
Katanya, individu yang mahu berhenti merokok memerlukan ketahanan mental yang tinggi untuk memastikan hasrat itu tecapai.
"Adalah menjadi cabaran getir untuk perokok tegar di bulan puasa kerana bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum tetapi mereka juga terpaksa menahan diri dari merokok.
"Tetapi bulan Ramadan sangat kondusif untuk mereka yang digelar perokok tegar untuk berhenti merokok," katanya.
Katanya, perokok tegar mampu menahan diri dari merokok di siang hari kerana bimbang batal puasa, jadi sepatutnya menggunakan kaedah menahan diri itu hingga waktu malam biarpun sudah boleh makan dan minum.
"Cabaran untuk melawan nafsu mereka dan melawan gejala penarikan balik dari nikotin, perokok-perokok perlu banyak melakukan aktiviti lain untuk melawan keinginan merokok.
"Berbalik kepada niat dan keazaman seseorang perokok, apakah mereka benar mahu benar-benar berhenti merokok," katanya lagi.
Dr Nur Hasyimah berkata demikian kepada Astro AWANI untuk slot Jendela Ramadan.
#berhenti #kondusif #merokok #Ramadan
;