Yasmin hanya diingati, karyanya tidak diteladani
Muzaffar Mustapa
Januari 7, 2014 09:00 MYT
Januari 7, 2014 09:00 MYT
Walaupun setelah pemergian pengarah terkenal Yasmin Ahmad dijemput Allah, kita masih mengingati jasa-jasa yang telah disumbangkan oleh Allahyarham, baik dalam bidang filem, buku, pengiklanan mahu pun dalam aspek kemanusiaan sejagat.
Hari ini genap 1628 hari perginya pengarah filem Sepet itu. Dan hari ini, 7 Januari merupakan hari ulangtahun kelahirannya yang ke 56, sekiranya Allahyarham masih ada.
Dalam keadaan negara yang saban hari dihambat polemik kaum dan agama, apa yang telah dilakukan oleh Allahyarham menerusi filem-filem arahannya, puisi-puisi nukilannya, iklan-iklan perayaan yang diusahakannya dan aktiviti kemanusiaan yang disokong olehnya masih kekal relevan hingga kini.
Namun, sejauh mana karya-karya agung itu ditauladani oleh kita semua sekarang?
Pada hari istimewa ini, Google Malaysia meraikan kehidupan dan hasil kerja sutradara terkenal itu menerusi Google Doodle. Yasmin merupakan personaliti terkenal pertama negara yang diberikan penghargaan sedemikian rupa.
Selama hari ini, Google hanya meraikan perayaan antara Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, hari istimewa seperti Pilihan Raya Umum ke 13, Hari Kemerdekaan, Hari Wanita Sedunia, Hari Dunia, Hari Buruh, Hari Bapa dan beberapa lagi.
Belum pernah lagi Google Malaysia meletakkan wajah tokoh politik tempatan, pembesar negara di muka depan enjin carian terkenal dunia itu.
Usaha Google Malaysia dalam mengangkat personaliti seperti Yasmin yang terkenal menerusi karya agung ciptaannya wajar diberikan pujian.
Setidak-tidaknya kita masih mengingati sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan oleh Yasmin dalam mendekatkan jurang perbezaan kaum dan agama yang semakin meruncing sekarang.
Sekiranya Yasmin masih hidup lagi pada hari ini, pastinya dia akan bersedih melihat polemik politik, baik politik negara mahu pun politik seni yang kacau sejak akhir-akhir ini.
Sering kali kita melihat polemik perbezaan agama dan kaum yang menjadi tajuk utama berita dan kita sendiri tidak tahu bilakah ia akan berakhir.
Usaha kecil Yasmin berkarya menerusi lima filemnya, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime yang mengangkat kisah perbezaan kaum di Malaysia seakan tidak memberikan apa-apa kesan kepada generasi sekarang.
Iklan-iklan nukilannya yang dahulu sering dinanti-nantikan hanya sekadar diingati tetapi intipati kisah daripada iklan tersebut tidak pernah dipraktikkan.
Kita hanya mengingatinya tetapi tidak pernah mengambil iktibar dari isi karya-karyanya.
Semoga Yasmin Ahmad, insan seni yang telah mencurah keringat selama 18,828 hari tenang di sana. Al-Fatihah.