Wayang politik Pakistan

Dr Azlinariah Abdullah
Mac 25, 2013 11:34 MYT
DALAM begitu banyak landskap politik negara di dunia ini, jatuh bangun dan warna warni politik Pakistan, sebuah negara Asia Selatan menarik perhatian saya. Bayangkan, daripada sebuah negara pecahan India (Pakistan Barat dan Pakistan Timur, yang menjadi Bangladesh hari ini) sehingga sekarang politiknya tidak aman. Pemerintahnya pula datang dan pergi silih berganti. Pemimpin-pemimpinnya menemui ajal , sama ada kerana dibunuh atau digantung. Bapa dan anak dalam keluarga Bhutto Zulfikar Ali Bhutto, dihukum gantung manakala Benazir dibunuh dalam satu rapat umum pilihan raya di Rawalpindi, 27 Disember 2007. Lebih awal daripada itu, Perdana Menteri pertama, Liaquat Ali Khan dibunuh pada 1951.
Pada lapis lain, kisah pembunuhan sekali gus mengundang simpati rakyat itulah yang menjadikan keluarga Bhutto dominan dalam politik Pakistan. Sejak 65 tahun lalu, ahli keluarga Bhutto menjadi pelakon utama dalam menggerakkan nadi politik Pakistan. Ada unsur gembira, tegang, sedih, kemudiannya kembali ria rencah utama dalam resipi filem politik Pakistan, dan ini dijayakan dengan baik oleh keluarga Bhutto. Malah ia akan terus dominan jika anak Benazir, Bilawal Bhutto Zardari, baru berusia 24 tahun akan terjun ke dunia politik dan bertanding pada 11 Mei ini. Jika menang, ia cerminan pengaruh keluarga Bhutto di Pakistan walaupun asal usul Bhutto bukannya Pakistan tetapi India, seteru nuklear Pakistan di Asia Selatan.
Peristiwa rampasan kuasa di Pakistan usah cerita. Itu menjadikan plot drama politiknya lagi mengujakan. Namakan mana-mana pemimpin. Zulfikar, bapa Benazir pernah alami rampasan kuasa disingkir pada 1977, tetapi akhirnya dihukum gantung kerana disabitkan kesalahan membantu pakatan pembunuhan seorang pemimpin pembangkang dua tahun kemudian. Nawaz Sharif, Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali, pernah membantu bekas Presiden Jeneral Pervez Musharraf menyingkirkan Jeneral Zia-ul Haq. Tetapi malang nasib Nawaz, budinya tidak dikenang, sebaliknya Pervez gulingkan Nawaz dan menjadikannya pemimpin Pakistan. Beliau kemudiannya menukar corak pemerintahan, kuasa Perdana Menteri diberikan kepada Presiden. Musharraf juga menjadi Presiden yang pertama dalam landskap pemerintahan politik baru Pakistan itu. Menariknya, Pervez, diktator berusia 69 tahun itu terpaksa lepas jawatan dalam payah apabila Asif Ali Zardari dipilih sebagai Presiden pada Ogos 2008. Asif ialah suami kepada Benazir, yang naik kuasa selepas wanita rakan Amerika Syarikat itu dibunuh semasa era pemerintahan Pervez. Keputusan Pervez berundur melambangkan sisi lain bagi rampasan kuasa ke atasnya.
Politik Pakistan juga menarik kerana beberapa pemimpinnya dua kali dipilih mentadbir. Pernah ditolak kerana kes tertentu seperti dakwaan rasuah dan komplot, tetapi mereka kemudiannya diterima semula rakyat untuk teraju Pakistan. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa pemimpin Pakistan yang tertentu itu berusaha mencari ubat merawat resah rakyat yang sakit menjadi mangsa politik mainan mereka. Benazir, dua kali dipilih sebagai Perdana Menteri; begitu juga Nawaz Shariff, menjadi Perdana Menteri pada 1 November 1990 hingga 18 Julai 1993 dan kemudiannya 17 Februari 1997 hingga 12 Oktober 1999. Apa maknanya pemilihan dua kali mereka berdua? Perlu diingat, apabila tidak lagi mejadi pemerintah, mereka hidup dalam buangan. Benazir hidup dalam buangan di Dubai manakala Nawaz pula hidup di Arab Saudi.
Dalam satu perkembangan terbaru, bekas Presiden yang juga jeneral, Pervez, pulang ke Pakistan pada 24 Mac selepas hidup dalam buangan di Dubai selama empat tahun. Apa erti kepulangan Pervez ini? Ini juga menarik. Tidak dapat disangkal lagi, Pervez mahu bertanding dalam pilihan raya, ingin mencuba nasib jika bertuah seperti Nawaz dan Benazir yang tercatat dalam sejarah Pakistan menjadi pemerintah sebanyak dua kali. Namun perlu juga ingat bahawa, apakah nasib Pervez akan secerah dua rakannya terdahulu? “Tidak, kepulangan Pervez tidak akan memberi apa-apa perubahan signifikan kepada politik mahupun pilihan raya Pakistan nanti. Beliau sudah tidak ada suara atau pengaruh yang kuat seperti dahulu. Pembabitannya dalam pilihan raya tidak lebih meletakkan satu lagi warna untuk dipilih rakyat, tetapi tidak akan ada ramai yang menyukainya,’’ kata penganalisis politik Pakistan, Dr. Azharuddin Mohamed Dali apabila saya bertanyakan kepadanya makna kepulangan Pervez. Semasa kami berbual santai di kampus Universiti Malaya (UM), seorang pelajar Pakistan, Kamran Khan namanya, berkata ,“Rakyat Pakistan marah kerana apa yang berlaku ke atas Benazir, di mana Pervez dikatakan tidak memberikan kawalan keselamatan mencukupi menyebabkan Benazir mati dibunuh. Pervez juga tidak pernah mahu berlembut dengan Taliban sebaliknya terus mendendami pergerakan itu dalam usahanya menghapuskan keganasan. Beliau juga terlalu baik dengan AS, ini tidak disukai rakyat, yang rata-rata beragama Islam,’’ katanya. Tambah Kamran, sikap dan ikrarnya yang mahu berbaik-baik dengan India juga tidak digemari Taliban khususnya jika ada kaitan dengan perebutan Kashmir. Kamran, pelajar politik Asia Selatan sama seperti Dr. Azharuddin, menutup pandangannya dengan kenyataan bahawa Pervez cukup bertuah jika partinya boleh menang walaupun 10 daripada 342 kerusi di Parlimen.
Apakah Pervez akan alami nasib sama seperti Benazir menjelang pilihan raya 11 Mei ini? Jangan dilupakan bahawa Al-Qaeda dan Taliban awal-awal lagi memberi amaran dan ancaman terhadap keselamatan Pervez semasa kepulangannya semula ke Pakistan. Jangan dilupakan juga, Pervez sendiri memberi jaminan bahawa Benazir akan selamat semasa bekas pemerintah itu pulang pada 2007. Namun, Benazir akhirnya dibunuh juga, dan Al-Qaeda ditunding sebagai mendalangi pembunuhan Benazir.
Keadaan sama tidak mustahil boleh berlaku di Pakistan, apatah lagi proses demokrasi pilihan raya masih boleh dianggap jauh, kurang lebih sebulan lagi. Sehingga detik itu, drama politik Pakistan terus dipenuhi unsur dan elemen mendebarkan. Skrip wayang politik Pakistan, saya tamatkan di sini untuk kita semua memikirkan tentang satu perkara. Bahawa, Pakistan dilahirkan untuk kita tertarik mengikuti gerak perjalanan globalnya sama seperti kita secara asasnya gemar menyaksikan perkara menghiburkan seperti wayang gambar, seni dan alunan lagu.
#Pakistan
;