Wahai anti-hadis yang sesat

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Februari 18, 2014 16:17 MYT
HADIS Nabi s.a.w adalah sumber ajaran Islam. Dalam ertikata lain ia menjadi rujukan dalam memutuskan perkara-perkara yang dikaitkan dengan Islam. Menolak hadis Nabi s.a.w bererti menolak penegasan al-Quran:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
(maksudnya): Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam apa-apa perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Surah al-Nisa': 65)
Banyak lagi ayat yang menegaskan rasul sebagai sumber rujukan.
Tidak dinafikan terdapat hadis yang tidak sahih iaitu perkataan ataupun perbuatan ataupun pengakuan ataupun sifat yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara tidak sahih. Namun untuk memutuskan hal itu hendaklah atas penghujahan ilmiah seperti yang digariskan oleh para sarjana hadis dalam klasifikasi hadis. Ia bukan dibuat secara semberono, nafsu yang dangkal dan tidak ilmiah. Menolak hadis yang tidak sahih memang sewajarnya, namun menolak yang sahih tanpa asas ilmiah adalah satu kesesatan.
Menolak hadis yang sahih sebagai sumber hukum Islam jika dilakukan dalam keadaan waras dan sedar membawa individu berkenaan terkeluar dari Islam. Inilah yang disebut oleh as-Sayuti r.h (w 911H): “Ketahuilah – semoga Allah merahmati kamu -- bahawa sesiapa yang membantah bahawa hadis Nabi s.a.w , -- samada perkataan atau perbuatan baginda dengan syarat-syaratnya yang diketahui dalam ilmu Usul (iaitu yang digariskan dalam Ulum al-Hadith dan Usul al-Fiqh) sebagai hujah maka dia menjadi kafir. Dia terkeluar dari daerah Islam dan dihimpunkan bersama Yahudi dan Kristian, atau bersama sesiapa yang Allah mahu daripada puak-puak kafir” (Al-Sayuti Miftah al-Jannah fi Ihtijaj bi al-Sunnah, m.s 140. Mesir: Dar as-Salam)
Mereka yang bersekongkol dengan menzahirkan sokongan ataupun tidak membantah padahal dia perlu membantah dan boleh membantah, maka dia boleh jatuh ke dalam golongan yang sama-sama sesat. Allah dalam al-Quran menyebut kepada Yahudi di zaman Nabi s.a.w dan selepasnya tentang pembunuhan dan pendustaan terhadap para rasul: (maksudnya) "Sebahagian para rasul itu kamu dustakan dan sebahagian pula kamu bunuh" (Surah al-Baqarah: 87).
Walaupun pembunuhan dan pendustaan itu berlaku pada masa yang lampau oleh datuk nenek mereka, namun Allah menyandarkan juga dosa itu kepada mereka dengan menyebut 'kamu' disebabkan mereka bersetuju ataupun tidak merasa itu satu kesalahan!!
Kita sedia untuk berdialog dengan golongan anti-hadis ini.
______________________
* Tulisan ini dipetik daripada laman Facebook DrMaza.com
* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#anti-hadis #Dr. Mohd Asri Zainul Abidin #hadis
;