UPSR bocor: Hentikan segera kitaran pemusnah pendidikan negara

Amidi Abd Manan
September 23, 2014 10:51 MYT
ABIM berpendapat bahawa obsesi terhadap peperiksaan dan perebutan ke sekolah-sekolah terpilih harus dihentikan.
Kebocoran soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini amat memalukan. Antara objektif UPSR ini adalah untuk mengukur kebolehan dan kemahiran pada peringkat asas persekolahan di Malaysia. Jika seseorang pelajar itu mendapat keputusan yang memberangsangkan, dia bepeluang mendapat tempat ke sekolah-sekolah menengah terpilih yang berprestij. Itulah peluang (mendapat tempat disekolah terpilih) yang dihambat oleh masyarakat kita bermati-matian. Sanggup bergolok-gadai demi memenuhi impian tersebut. Sanggup juga dikorbankan fasa kanak-kanak dalam proses pembesaran anak-anak. Anak-anak telah dipaksa menghadiri kelas tambahan, tuisyen, bengkel dan seminar semata-mata mengejar impian tersebut. Anak-anak hilang keseronokan bermain kerana terpaksa mengikuti rutin yang telah ditetapkan oleh ibubapa dan pihak sekolah.
Pada persepsi ibubapa pula, mereka bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Lantas para ibubapa menyimpulkan pendidikan terbaik mestilah datang bersama sekolah yang terpilih tersebut. Maka dijadikanlah ukuran kejayaan pendidikan anak-anak adalah mendapat tempat disekolah terpilih, jika gagal maka kegagalan itu adalah kegagalan ibubapa mendidik anak-anak. Kenapa obsesi terhadap sekolah terpilih ini wujud? Jawapannya adalah segala rencah kecemerlangan akademik wujud pada sekolah tersebut. Kemudahan, kecanggihan prasarana, guru berpengalaman, kepimpinan sekolah yang mantap dan seribu satu kelebihan dan keutamaan. Timbul pula persoalan berikutnya adalah, kenapa wujud sekolah yang sedemikian keutamaannya? Adakah sekolah ini sahaja jaminan kepada pendidikan yang cemerlang? Kenapa dilonggokkan seribu satu kelebihan pada sekolah tersebut? Siapakah yang melonggokannya?
Jawapannya terletak pada pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan akhirnya Kementerian Pendidikan itu sendiri. Apabila keputusan UPSR, PMR, SPM/ V dan STPM/ STAM diumumkan, maka turut sama dikeluarkan adalah kedudukan (ranking) negeri mengikut Gred Purata Keseluruhan (GPS) bagi setiap mata pelajaran dan lain-lain statistik seumpamanya. Lantas para Pengarah Pendidikan Negeri berasa bahawa ini merupakan tanggungjawab semasa mereka menjawat jawatan tersebut dan boleh digunakan untuk menggapai kedudukan yang lebih baik lagi.
Oleh itu, para pengarah ini berlumba-lumba merencana program dan strategi untuk meningkatkan prestasi GPS negeri masing-masing. Segala sumber kekayaan negeri dicurahkan demi mencapai hasrat tersebut. Hampir 70% sumber pendapat yayasan negeri dibelanjakan untuk meningkatkan pencapaian akademik ini. Inilah kitaran pemusnah (vicious circle) pendidikan. Pendidikan di Malaysia yang berfalsafahkan individu yang seimbang secara harmonis dan berketrampilan sudah dimusnahkan oleh kitaran peperiksaan ini.
Perbincangan berkaitan falsafah ini sudah semakin dipinggirkan dan tidak lagi menjadi topik sentral dalam dunia pendidikan negara pada hari ini. Kitaran ini perlu dihentikan sebelum ia meratah rakus satu persatu kriteria yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Membiarkan kitaran ini berterusan akan menyebabkan masyarakat Malaysia kehilangan jati diri dan lebih teruk lagi hilang kemanusiaannya. Apabila ini terjadi maka kita akan kehilangan satu sifat yang terpenting dalam kehidupan iaitu sifat ‘malu’.
Hilangnya sifat ini, membuatkan kita berani melanggar prinsip dan kebenaran kerana benteng dalaman diri telah roboh dan berkecai. Maka kebobrokan dalam masyarakat akan terus berlaku dan menjadi semakin parah. Oleh yang demikian, segala obsesi terhadap peperiksaan perlu dtangani dengan cermat. Kembalikan fungsi peperiksaan sebagai dapatan guru terhadap kualiti pengajarannya samada yang berbentuk kaedah (pedagogi) mahu pun kesediaan belajar (psikologi) para pelajar.
Sudah tentu sebagai warga pendidik yang bertanggunjawab akan menunaikan objektif pendidikan sebagaimana yang dihasratkan oleh negara. Konsep ‘ajar sampai jadi’ perlu dihayati oleh setiap pendidik. Ia memerlukan sokongan ibubapa bagi merealisasikan hasrat ini. Jika konsep ‘kemenjadian’ ini tercapai, tiada lagi istilah sekolah terpilih kerana hantarlah anak bersekolah dimana-mana sekolah pun, inshaAllah penguasaan teori dan praktikal juga emosi dan rohani akan dapat dicapai.
Di sinilah terletaknya keperluan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ia adalah usaha untuk memutuskan kitaran pemusnah ini. Setiap guru diberikan ruang secukupnya untuk mengajar, menguji dan melakukan pembaikan bagi setiap kelemahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Guru juga diangkat agar pentaksiran yang dilakukannya diperakui oleh masyarakat dan ia bermula dari para ibubapa, terutamanya ibubapa yang juga dalam kalangan guru. PBS ini amat penting bagi memberi gambaran yang setepatnya terhadap proses pendidikan yang dilalui oleh anak-anak kita.
Apalah gunanya gred ‘A’ sekiranya ia diperolehi dari kebocoran soalan. Apalah gunanya gred ‘A’ sekiranya ia diperolehi dari usaha yang curang dan tidak bermoral. Mungkin ada pertanyaan sekiranya PBS hanya mengandungi prestasi dari kacamata seorang guru, maka bagaimana kita mahu menggredkan pelajar yang layak ke IPT-IPT atau kursus-kursus tertentu? Jawapannya adalah perkenalkan peperiksaan kemasukan (entrance exam). Ia telah diamalkan oleh banyak negara.
Hampir kesemua pelajar sekolah kita yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara menduduki peperiksaan ini. Sebagai contohnya para pelajar yang mahu memasuki Universiti al-Azhar, Mesir perlu menduduki peperiksaan kemasukan yang dinamakan imtihan qabul tanpa mengira gred yang diperolehi pada peperiksaan STAM. Begitu juga saya difahamkan kemasukan untuk IPT di negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Sememangnya insiden kebocoran soalan UPSR adalah satu tragedi yang besar dalam dunia kependidikan Malaysia. Namun formula penyelsaian jangka panjang telah pun ada. Namun kekehuatiran tetap wujud apabila Peperiksaan TIngkatan 3 (PT3) akan dilaksanakan pada bulan Oktober ini. Ia sekali lagi akan menguji integriti guru kerana perebutan tempat ke sekolah-sekolah terpilih masih belum dihentikan sepenuhnya.
-------------------------------------------------------------------
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.
#ABIM #pendidikan #UPSR
;