Tukar persepsi terhadap pelarian
Dr Azlinariah Abdullah
Jun 17, 2013 09:56 MYT
Jun 17, 2013 09:56 MYT
BOB Marley. Olivia Newton-John. Sigmund Freud. Mario Stanic. Andy Garcia. Yasmin Alibhai-Brown. Merhan Karimi Nasseri.
Mereka ada satu persamaan walaupun berlainan bidang kerjaya. Mereka lahir dalam keluarga atau sebagai pelarian berjaya. Bob Marley, legenda di zamannya, tetapi sejarah kehidupannya bermula sebagai pelarian di Jamaica. Olivia pula, merupakan cucu kepada seorang pelarian bernama Max Bon. Kehidupan sukar sebagai pelarian tidak menyekat kejayaan Olivia untuk muncul sebagai penyanyi dan pelakon berjaya.
Begitu juga Freud, pengkaji psikologi manusia. Latar hidupnya berkembang dalam sejarah Nazi dan Yahudi sekali gus memaksanya menjadi pelarian di Austria sebelum peroleh kejayaan dan dikenali.
Stanic, pernah bermain bola sepak untuk Chelsea dan pernah juga menyarung jersi Sarajevo FC. Tetapi beliau menjadi sasaran semasa Perang Bosnia mendorongnya melarikan diri ke negara yang menjanjikan iklim politik lebih stabil demi masa depan lebih cerah.
Siapa tidak kenal Andy Garcia? Pelakon “When A Man Loves A Women” bersama Meg Ryan ini sebenarnya pelarian. Pada usia 5 tahun, beliau keluar dari cengkaman pemerintahan bekas pemerintah Fidel Castro di Cuba sebelum berjaya sebagai anak seni di Hollywood. Alibhai Brown pula membina nama sebagai penulis buku dan wartawan terkenal di Britain. Namun asalnya beliau ialah seorang pelarian dari Uganda.
Filem “The Terminal” lakonan Tom Hanks mengangkat kisah benar untuk ke layar. “The Terminal” berdasarkan kepada kisah Merhan Karimi Nasseri, pelarian Iran yang hidup bangun dan tidur di Terminal One di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris sejak 8 Ogos 1998 sehingga Julai 2006. Beliau kemudiannya menulis buku mengenai pengalamannya itu dan memperoleh pendapatan lumayan dengannya.
Jadi, siapa kata pelarian tidak boleh berjaya? Ketujuh-tujuh mereka yang disebut di atas merupakan antara ribuan pelarian yang berjaya berada di dunia ini. Kejayaan mereka menangkis persepsi lazim bahawa pelarian hidup dalam keadaan susah dan tiada harapan.
Saya masih ingat semasa temu bual saya dengan Alibhai Brown pada 2005, penulis yang juga pelarian Uganda ini mengakui bahawa “ one refugee with no hope is too many”. Namun antara lain katanya, ia disumbang kepada persepsi terhadap kelompok itu sendiri. Hakikatnya, tambah beliau, pelarian itu tiada pilihan selain terpaksa menjadi sedemikian, berbanding dengan pendatang yang boleh menolak untuk menjadi sebegitu.
Sejarahnya pelarian, ia adalah masalah sejagat. Hampir semua negara mempunyai pelarian. Dengan atmosfera dunia yang cenderung untuk lebih berkonflik dan bukannya mementingkan manusiawi, bilangan pelarian dikhuatiri terus meningkat dan mereka hidup secara diaspora. Apabila ada pelarian, bermakna akan ada negara, lokasi mereka ini melarikan diri. Malaysia antara negara paling ramai dikunjungi pelarian disebabkan faktor agama, kestabilan politik dan penyumbang ekonomi lebih baik.
Sejarahnya juga, kita tidak perlu lupa kepada isu pelarian Vietnam ‘orang bot’ atau orang hanyut yang mendarat dengan begitu ramainya di negara ini, mencari perlindungan daripada pemerintahan Komunis sebaik berakhirnya Perang Vietnam pada April 1975. Kira-kira 250,000 pelarian Vietnam diproses di khemah pelarian di Pulau Bidong di Terengganu sebelum kebanyakan mereka diterima negara ketiga termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis, New Zealand dan Sweden. Selepas itu, kira-kira 9,000 pelarian Vietnam kembali ke negara asal dengan bantuan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Namun, selepas khemah Pulau Bidong ditutup pada Oktober 1991 sekali pun , Malaysia masih menjadi tumpuan serta tempat perlindungan untuk pelarian daripada beberapa negara lain sehingga ke hari ini.
Berdasarkan statistik UNHCR, sehingga tahun lepas seramai 98,100 pelarian berlindung di negara ini dengan 89,900 orang daripadanya adalah rakyat Myanmar yang meliputi 34,430 orang dari Wilayah Chin; 22,840 orang (Rohingya); 10,510 orang (Rakhine) 10,480 orang (Myanmar Muslim) manakala selebihnya kalangan etnik minoriti.
Bilangan pelarian ini akan terus meningkat khususnya apabila perang masih berlarutan di Syria, keganasan kekal berlaku di Afghanistan dan sengketa agama tetap tidak boleh dikekang di Myanmar. Keadaan ini tidak boleh diubah kerana selagi manusia memilih untuk pentingkan kuasa dan kelangsungan etnik, selagi itu perang, keganasan dan sengketa agama terus berpanjangang.
Tetapi, ada seperkara kita boleh lakukan untuk membantu pelarian-pelarian yang semakin bertambah. Tukar persepsi terhadap mereka. Kalau kita boleh menerima Andy Garcia dan gemar lakonannya atau halwa telinga kita kata “ya” kepada muzik reggae Bob Marley, apa salahnya kita terima dengan persepsi positif pelarian yang ada di dunia ini. Tidak usah pergi jauh, cuba sahaja kita ubah pandangan kita tentang sekumpulan orang yang berhimpun di hadapan rumah kayu di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. Mereka ini sedang meminta bantuan untuk satu kehidupan yang lebih baik di Malaysia. Paling ramai ialah Rohingya, minoriti Muslim yang tiada negara _Myanmar pun tidak, Bangladesh juga bukan. Mereka lebih ramai datang ke Malaysia apabila konflik agama berterusan di Rakhine, satu ketika dahulu namanya Arakan, pusat penyebaran agama Islam terkenal di Asia Tenggara.
Selebihnya, jangan kita lupa ada satu hari khas untuk mereka _ Hari Pelarian Sedunia disambut setiap tahun pada 20 Jun. Diasaskan oleh PBB pada 2000, ia disambut buat pertama kali setahun kemudian. Antara lain, tarikh 20 Jun dipilih untuk sama-sama meraikan Hari Pelarian Afrika.
#Andy Garcia
#Azlinariah Abdullah
#bob Marley Olivia Newton-John Sigmund Freud
#hari pelarian afrika
#Mario Stanic
#Merhan Karimi Nasseri
#Yasmin Alibhai-Brown