Tindakan tepat FAM
Fadzrie Hazis
April 27, 2013 07:27 MYT
April 27, 2013 07:27 MYT
Tindakan Jawatankuasa Tatatertib FAM, membebaskan pengendali kebangsaan, Datuk K Rajagobal daripada sebarang tindakan jelas satu langkah tepat.
Memang, sejak dari awal pengendali kebangsaan itu diarah menjawab pertuduhan, saya tidak bersetuju.
Bagi saya, selaku pengendali kebangsaan mungkin Rajagobal berhak memberikan pandangannya, apabila menyatakan kelibat awang import membataskan peluang penyerang tempatan dalam saingan Liga M.
Kenyataan itu, jelas tidak cukup untuk mengaitkan beliau dengan dakwaan mengkritik dasar FAM, malah Rajagobal turut membawa pita rakaman kenyataannya, yang dibuat selepas aksi persahabtan dengan Arab Saudi, 17 Mac lalu.
Sebagai seorang penulis sukan, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam isu membabitkan Rajagobal ini.
Tetapi, tidak dapat dinafikan terdapat beberapa akhbar arus perdana yang seakan cuba memerangkap Rajagobal dengan kenyataan itu.
Adakah pendekatan beberapa akhbar itu berlandaskan eitka kewartawanan atau terdapat, agenda lain yang tersirat?
Jawatankuasa Tatatertib FAM pimpinan Datuk Taufik Razak juga, seharusnya cuba menyelesaikan isu ini secara dalaman tanpa perlu memanggil Rajagobal menghadap jawatankuasa itu.
Dari awal juga saya menegaskan, jika FAM mahu meleraikan ikatan dengan Rajagobal, biarlah kerana merit dan bukan sebab faktor teknikal yang lain seperti hukuman penggantungan.
Mungkin insiden ini juga, boleh menjadi pengajaran kepada Rajagobal supaya lebih berhati-hati apabila membuat kenyatan kepada media.
Selain bola sepak, sukan berbasikal turut mencuri tumpuan minggu ini, apabila Institut Sukan Negara, ISN mengumumkan pencarian bakat baru untuk sukan berbasikal trek dari atlet sukan lain.
Pogram Ride With Pride, membolehkan ISN mengenal pasti atlet dari sukan lain, yang memiliki pakej lengkap untuk menceburi sukan berbasikal trek bagi membantu pengendali kebangsaan, John Beasly meluaskan kelompok pelumba elit negara.
Saya berharap, usaha ISN ini, mampu memberi kesan positif buat sukan berbasikal trek menjelang Sukan Olimpik Rio 2016.
Di sini, saya juga ingin mengambil kesempatan dalam ruangan ini, untuk mengumumkan pemergian saya ke Mekah, pada 30 April ini untuk menunaikan Umrah.
Wartawan saya, Syamil Izwan Azizan akan memangku tugas saya untuk menulis di rungan ini sehingga saya kembali bertugas, pada 14 Mei depan.