TIDAK keterlaluan, dalam tempoh 2 minggu sejak 14 Ogos lepas, perhatian, tumpuan, sorotan dan analisis semuanya tentang Mesir. Sepanjang tempoh masa itu, gelora yang berlaku di Mesir pasca kejatuhan bekas Presiden dokongan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi, yang kemudiannya menjadi lebih ribut gara-gara protes bertukar simbahan darah, semuanya dikupas pelbagai pihak dengan menggunakan sebarang landasan bentuk komunikasi dan pertukaran maklumat. Dalam tempoh itu juga, reaksi dan kupasan di mana-mana landasan ada yang tertib, tidak kurang cuma sokongan sebelah pihak , jarang terkecuali bersulamkan emosi sebaliknya memasukkan fiksi bagi menyokong kenyataan dibuat.

Mohamed Morsi

Jadi, salahkah perhatian yang sangat terlebih ke atas Mesir itu sepanjang dua minggu lalu? Tidak mengapa, jika tumpuan diberikan kepada negara anggota Asia Barat yang satu itu. Ini kerana itulah peristiwa yang paling ada tempat di dada media kerana sifatnya bercirikan “juicy news”, memetik kata pakar-pakar dunia media dan pemberitaan. Tetapi pada pemerhatian saya sebagai individu yang mengikuti rapat perkembangan di Mesir atas asas, sejarah kebangkitan Islam di Tanah Melayu, kini Malaysia, turut ada kaitan dengan negara itu, liputan mengenainya terlalu banjir melimpah.

Bayangkan, sejak dua minggu lalu, analisis akademik lebih 90 peratus merujuk tentang Mesir. Mesir itu dan Mesir ini. Jangan lupa, forum mengenai Mesir turut bercambah dalam tempoh itu. Begitu juga cakap-cakap di restoran kedai kopi, kafe atau bistro, disambung kupasannya selepas hidangan terkini mengenainya disiarkan di televisyen yang tersedia sebagai kemudahan. Itu belum masuk di blog, status media sosial dan sebagainya hampir kesemuanya tentang Mesir, cerita Ikhwanul Muslimin, kisah kekejaman pihak berkuasa kerajaan sementara Mesir kerana menganggap nyawa penyokong pro-demokrasi lebih murah daripada harga gandum.

Apa lagi? Di akhbar-akhbar, hampir kesemuanya namakan apa sahaja, dalam atau luar negara, muka depan berita tidak lain tidak bukan, tentang Mesir.

Mesir

Perhatian yang begitu banyak bukannya kesalahan pada hemat saya tentang Mesir itu, sedikit sebanyak menyebabkan kita berdosa kecil. Kerana apa? Kita lupakan Palestin.

Tidak ramai yang tahu dan sedar atau barangkali pura-pura enggan peduli, dengan sorotan serta tumpuan begitu banyak tentang Mesir itu, kita terlupa tentang usaha damai Palestin-Israel. Ia berlaku pada hari yang sama, operasi pihak berkuasa ke atas penyokong pro-demokrasi. Hari berlangsungnya rundingan damai di Ramallah itu, serentak dengan perdebatan angka korban pertumpahan darah Mesir membabitkan pihak berkuasa dan Ikhwanul Muslimin. Dakwa pihak berkuasa, yang terbunuh hanya berpuluh-puluh orang, tetapi Ikhwanul Muslimin tegas berpendirian angka korban angkara tindakan kejam itu mencecah 2,000 orang.

Mesir

Ketika kita sibuk mencari kebenaran, masa satu yang mahu digunakan dan dilaporkan untuk memancing perhatian , kita terlepas perkembangan susulan rundingan damai Israel-Palestin. Hasilnya, liputan itu tidak mendapat perhatian sedikit pun di dada media di sini, di Asia Barat atau negara Barat.

Kita juga mungkin sedikit “melampau” kerana turut tidak ingat tentang Hari Al-Aqsa dan bahaya terkini yang menantinya. Diingatkan, Hari Al-Aqsa diingati pada 21 Ogos juga sepanjang tempoh dua minggu ketika Mesir bermandi darah. Sekali lagi, perhatian keterlaluan kepada Mesir menyebabkan kita terlupa Palestin dan Al-Aqsa. Kita salah kalau mencemuh padan muka Palestin dan Arab kerana terus-terus berbalah, sebab itu Masjid Al-Aqsa terus terjajah. Kita jadi berdosa kalau tidak berbuat apa-apa tentang Al-Aqsa kerana realitinya ia isu umat Islam. Jangan sesekali terlupa bahawa Masjid Al-Aqsa, yang letaknya di bumi Palestin terkepung, adalah masjid ketiga paling suci selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

Sejak Zionis menguasai Al-Aqsa bermula tahun 1967, pelbagai bentuk ancaman dan bahaya ditempuhinya. Ia dibakar, dicerobohi, digali dasarnya, dihalang pengunjungnya, dikepung, dinajisi dan sebagainya. Adalah dikesalkan kerana kebanyakan kita menganggap bahaya ke atas Al-Aqsa ini kurang diketahui oleh umat Islam sedunia, apatah lagi umat Islam di Malaysia.

Isu Palestin yang berlanjutan sejak sekian lama sering dilihat sebagai isu Arab-Israel dan sering pula digambarkan sebagai konflik perebutan tanah. Ia bagaikan telah mengaburkan isu masjid ini. Lebih menyedihkan lagi, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kini dipengerusikan Kazakhstan tahun ini langsung tidak menyebut secara spesifik isu masjid ini, apatah lagi untuk menyedarkan umat Islam sedunia tentang bahaya menantinya selepas Zionis tidak berehat daripada usaha menjajah kekal di situ. Wajar diingatkan, OIC ditubuhkan sejurus Masjid Al-Aqsa dibakar pada tahun 1969.

Sekali lagi, tidak salah jika setiap hari ada berita tentang Mesir. Pun benar keputusannya kalau meletakkan berita Mesir sebagai hidangan muka depan akhbar atau buletin utama di slot berita televisyen. Namun, ia sedikit tidak betul apabila kedua-duanya tidak diberikan liputan seimbang sedangkan kedua-duanya saling berkait. Apa yang berlaku di Mesir akan menjejaskan Palestin, tanpa kecuali aspek rundingan damai. Jika sesuatu berlaku kepada Palestin, Masjid Al-Aqsa turut terancam. Maka, adalah betul, kalau perhatian kita tidak terlebih kepada Mesir, pada masa sama, tidak terkurang kepada Palestin. Begitulah.